| Bagi membela Ketua Umum KEADILAN Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dizalimi kerajaan Barisan Nasional (BN), Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menubuhkan Gerakan Rakyat Tolak Konspirasi Jahat Terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEJAM).
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata gerakan itu bakal melibatkan 5,000 penyokong yang akan berhimpun di perkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta bermula hari pertama perbicaraan 8 Julai ini sehingga kes selesai.
Perhimpunan akan dilakukan secara aman dan tidak melanggar undang-undang.
“Saya meminta semua rakyat yang pentingkan keadilan supaya datang beramai-ramai ke perkarangan mahkamah Rabu ini dengan memakai baju hitam untuk memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim.
“AMK akan mengerakkan jentera dari seluruh negara untuk menyebarkan fakta dan bukti untuk memastikan konspirasi politik kedua terhadap Anwar tidak berulang ,” katanya.
Beliau berkata AMK sedia menghadapi sekatan polis kerana perhimpunan ini sah dan dijalankan atas niat memberi sokongan bukannya menimbulkan kekacauan.
“Kita rasa memang akan ada sekatan tetapi kami ingin tegaskan bahawa perhimpunan ini berniat murni dan untuk menyokong Anwar dalam perbicaraan beliau, tidak timbul soal mahu timbulkan huru-hara,” katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan