Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Ahad, 27 September 2009

Isu cat, pembangkang tidak terlibat








IPOH – Isu simbah cat di papan iklan yang memaparkan gambar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zamb ry Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi hangat diperkatakan sama ada di peringkat masyarakat sehinggalah ke pemimpin politik.


Tidak ketinggalan pemimpin pembangkang yang rata-rata mengutuk keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu secara tidak langsung mencemari kemuliaan Ramadan. Memang tidak dinafikan, ramai beranggapan tindakan ini didalangi oleh pihak pembangkang tetapi yang jelas mereka bersimpati dengan keadaan sedemikian.

Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming berkata, walau apa pun orang bercakap dan membuat tohmahan kepada pakatan pembangkang kononnya tindakan berkenaan didalangi mereka, yang pasti pihaknya tidak terlibat.

Katanya, pakatan pembangkang menafikan perbuatan itu kerana ia tidak melambangkan imej profesionalisme parti yang selama ini memperjuangkan ketelusan serta integriti dalam cara pentadbiran kami.

“Kita tidak akan sesekali menggunakan taktik kotor semata-mata untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada mana-mana pihak. Pakatan pembangkang amat mementingkan toleransi serta hormat-menghormati antara satu sama lain tidak kira kawan mahupun lawan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis juga mengingatkan Dr Zambry supaya mengambil iktibar dari peristiwa berkenaan.

Menurutnya, ini adalah amaran daripada pihak tertentu, barangkali masyarakat setempat yang tidak puas hati cara peralihan kuasa antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

“Ini juga memperlihatkan bahawasanya masyarakat benci terhadap beliau kerana sanggup merampas negeri ini mengikut jalan yang salah serta juga dalam masa sama mengkhianati mandat kepercayaan masyarakat.

“Lagipun, papan iklan yang dipaparkan itu, saya yakin menggunakan wang rakyat serta dalam konteks ini sudah semestinya satu pembaziran berlaku bilamana wang rakyat digunakan untuk promosikan diri sendiri bukannya membantu rakyat,” katanya.

Bagi Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Chang Lih Kang pula berkata, bagi pihak PKR, kami juga menentang dan tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.

Katanya, perbuatan ini dilihat sebagai satu amaran kepada Dr Zambry supaya beliau lebih sedar yang rakyat tidak suka kepadanya.

“Saya percaya dan yakin, perbuatan ini bukan didalangi oleh pihak pakatan pembangkang serta ia bukan cara cara kami (PR) untuk menunjukkan tanda protes.

“Paling penting, Dr Zambry perlu lebih rasional dan sedar diri serta mengambil langkah perlu bagi menangani masalah ini supaya ia tidak terus berlarutan kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi sebagai seorang ketua negeri,” katanya.

Tiada ulasan: