IPOH: Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boo Chye mendakwa Calon BN Dun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman menyerang beliau semalam.
Kejadian
 itu berlaku di Bilik Gerakan PKR di Taman Tasek Permai, Batu Gajah yang
 dikatakan berpunca disebabkan rasa tidak puas hati penyokong BN 
terhadap PKR yang mendirikan bilik gerakan kira-kira 500 meter daripada 
Pejabat Pusat Khidmat Dun Sungai Rapat yang dijadikan bilik gerakan BN.
Katanya,
 beliau bergegas ke tempat tersebut selepas menerima panggilan dari 
petugas bahawa sekumpulan penyokong BN datang membuat gangguan di bilik 
gerakan PKR itu.
“Apabila Datuk Hamidah hadir, dan kami pun 
berunding tapi keadaan bertukar kecoh apabila Hamidah bertindak liar 
dengan merampas perakam video petugas PKR lalu mencampakannya.
“Tidak
 lama kemudian, Datuk Hamidah bertindak di luar jangka dengan mencekak 
kolar baju saya,” jelasnya pada sidang medianya di Pejabat PKR Gopeng, 
Taman Soon Choon Ipoh, hari ini. 
Hadir sama ialah Naib Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang, dan Yang Dipertua PAS Gopeng,  Abdul Rahim Ariff.
Dr
 Lee yang juga Calon PKR parlimen Gopeng berkata, beliau rasa sangat 
terkejut dengan tindakan Hamidah yang disifatnya satu perkara diluar 
jangkaannya.
Satu laporan polis juga telah dibuat berhubung kejadian itu.
Sehubungan itu beliau menggesa Hamidah memohon maaf kepadanya 
secara terbuka atas kejadian tersebut dan berharap pihak polis yang 
turut berada di tempat kejadian dapat menjalankan siasatan secepat 
mungkin.
Dalam perkembangan berkaitan, calon PAS Dun Sungai 
Rapat, Ustaz Radzi Zainon melahirkan rasa kecewa dengan tindakan tidak 
bertanggungjawab yang dilakukan oleh calon Umno itu.
Katanya, 
Hamidah tidak sewajarnya berbuat demikian kerana beliau adalah bekas 
Exco kanan Kerajaan Negeri Perak ditambah lagi beliau adalah seorang 
wanita.
“Sepatutnya kita dapat berbincang bagi menyelesaikan masalah ini, bukan dengan tindakan yang tidak sewajarnya ini.
“Salahkah
 kami untuk mendirikan bilik gerakan di premis persendirian, kami adalah
 parti berdaftar yang akan bertading pada pilihanraya ini,” jelas 
Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng itu.