Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Sabtu, 4 Julai 2009

M.Faqih Bercerita Dari Manek Urai...


Siri 1: Uji Ikan Di Kenali Ramai..

NAMA Uji Ikan, tidak asing lagi di Kuala Krai. Jarang orang tidak mengenalinya. Apabila menjejak kaki ke pasar kita mudah temui seorang lelaki bertubuh tegak. Tidak sukar untuk mengenalinya. Biar pun ramai penjual ikan di situ, ada seorang yang berpakaian sedikit kelainan.

Ada serban di atas kepala. Dililit kemas. Ekor serban menjuntai ke bawah di bahagian belakang. Sekali tengok macam orang pondok.Dahinya ada tanda hitam, kata orang kampung tanda kuat ibadat.

Hari ini beliau sudah jarang kelihatan di pasar, biar pun masih lagi berniaga ikan. Beliau sudah meningkat maju dalam perniagaan. Abe Uji di antara pemborong ikan di pasar berkenaan.
Ramai penjual ikan di pasar itu dan penjaja dengan kenderaan mendapat bekalan ikan daripadanya.

Biar pun kini jarang kelihatan di pasar, namun masih mudah ditemui di Masjid Jauhar di hadapan stesen minyak Caltex.

Masjid itu menjadi tempat persinggahan bagi musafir yang melalui jalan Kuala Krai – Gua Musang. Kedudukan tidak jauh dari simpang tiga menghala ke bandar Kuala Krai.
Kedudukan agak strategik dan mempunyai parkir yang luas. Setiap waktu solat ramai orang yang singgah di situ. Sering kali kita melihat ada sebuah kereta Mercedes model lama diparkir di tepi masjid. Nombor pendataran bertulis PAS.

Itulah kereta milik Abe Uji. Nama sebenarnya Mohd Fauzi Abdullah, 50. Abe Uji Ikan kini semakin dikenali ramai. Seluruh negara memerhati gerak lakunya.

Namanya tiba-tiba menjadi sebutan. Kecil besar, tua, muda menyebut nama Abe Uji. Mengapa tiba-tiba Abe Uji menjadi begitu popular, seumpama Mawi. Sedangkan Abe Uji bukan artis yang gila glamour. Atau pemimpin politik yang baru muncul.

Namanya tiba-tiba muncul selepas diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Siri 2: Mungkinkah Tragedi Pengkalan Pasir Berulang?

Pernahkah anda menonton drama ‘Cikgu Limau Kasturi’. Ia pernah ditayang di televisyen suatu ketika itu. Kisah kehidupan seorang guru di kawasan pedalaman Kelantan. Limau Kasturi, bukan nama buah, sebaliknya kampung yang terpisah dari dunia luar. Jalan perhubungan yang ada ketika itu hanyalah kereta api. Kehidupan masyarakat agak sukar kerana tidak banyak infrastruktur yang disediakan kerajaan.

Begitu juga dengan Manek Urai. Sebuah perkampungan yang dipisahkan Sungai Lebir dengan dunia luar. Biar pun kebun getah subur di lereng-lereng bukit, namun kehidupan mereka tidak banyak berubah.

Ketika itu hanya motosikal yang menjadi kenderaan utama. Masuk kebun, hantar anak ke sekolah, dan ke pasar menggunakan motosikal.

Kenderaan roda empat hampir tiada, kecuali lori pengangkut balak dan jentera berat lain. Itu pun diangkut ke sini dengan kereta api.

Bekalan elektrik hanya bermula jam 7 petang hingga 7 pagi. Air dibekalkan dari bukit yang ditandak. Ketika musim hujan air kelodak macam teh susu memenuhi besen. Kalau musim kemarau penduduk terpaksa ke sungai.

Mengandar air di bahu bagi lelaki dewasa merupakan fenomena biasa ketika itu. Di Sungai Lebir ada rakit dan pangkalan tempat tambat perahu.

Paling tidak dapat dilupakan apabila setiap kali musim tengkujuh air Sungai Lebir pasti melimpah. Amokan air bah sekali sekala menyebabkan banyak rumah penduduk hanyut.

Namun Bukit Kajang dan stesen kereta api menjadi tempat penduduk berlindung.

Biar pun air bah sering melanda, namun Manek Urai tetap menjadi tumpuan ramai. Ada dua kilang papan yang menjadi nadi penting.

Begitu juga Estet Kuala Hidung tempat penduduk mencari rezeki.
Ramai penduduk dari utara Kelantan berhijrah ke Manek Urai.

Di sebelah timur Sungai Lebir jalan raya menghubungkan Kuala Krai – Gua Musang mulai dibina.

Namun kenderaan belum mampu sampai ke kampung lama. Kedai Haji Isa di seberang gertak kereta api menjadi tempat kereta tambang menunggu penumpang.

Biar pun terpisah perhubungan, namun terdapat dua sekolah di kampung lama. Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Manek Urai.

Adanya kemudahan itu membolehkan kampung terbabit mengesot menerima tempias pembangunan. Selain itu ada sebuah klinik dan balai polis.

Inilah Manek Urai, nostalgia itu sudah lama berlalu. Sejak jambatan yang merentangi Sungai Lebir siap dibina, lanskap Kampung Manek Urai Lama mulai berubah.

Bangunan sekolah juga mulai berubah wajah. Penduduk yang sering terdedah dengan banjir juga diberi lot di kampung baru. Penempatan itu dikenali sebagai Kampung Manek Urai Baru.

Di kampung tersebut juga ada sebuah pusat kesihatan besar dan sekolah kebangsaan. Deretan rumah penduduk lebih tersusun. Hari ini banyak banglow dibina di kiri kanan jalan.

Kampung lama pun mulai sunyi, kecuali hari Sabtu riuh rendah dengan pasar sehari. Stesen kereta api tidak lagi menjadi tumpuan. Dua sawmill yang menjadi nadi ekonomi kini sudah tinggal tapak dan semak samun.

Hanya Ladang Kuala Hidong yang masih beroperasi. Lagi pun sebahagian besar penduduk mempunyai kebun getah sendiri.

Manek Urai sudah lama tidak diperkatakan orang, tiba-tiba 22 Mei lalu meletup. Berita kematian wakil rakyat, Haji Ismail Yaakub tersebar segera ke seluruh negara.

Orang yang tidak pernah tahu di mana Manek Urai pun mulai bercakap. Permergiaan buat selama-lamanya Paksu Mail, seorang pemimpin dekat di jiwa rakyat menjadi pencetus segala cerita.

Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pondan di Penanti, tiba-tiba mengubah rentak di Manek Urai.

Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharapkan ada sedikit ruang bernafas di Manek Urai.

Kegagalan yang bemula di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau cukup menghantui mereka.

Najib tidak sanggup menambah koleksi kekalahan BN di Penanti, apabila lebih awal lagi mengangkat bendera putih.

Namun, di Manek Urai nafsu pemimpin Umno membuak kembali. Alasan kemenangan tipis 53 undi pada pilihan raya umum 2004 menjadi tarikan utama.

Umno amat mengharapkan tuah badan itu bergolek kembali. Lebih-lebih lagi Datuk Mustapa Mohamed memimpin semula Umno Kelantan.

Ramai mengharap sentuhan ajaib Mustapa kali ini bermula di Manek Urai.

Mampukah Datuk Pa menggalas segala harapan tersebut ketika beberapa pemimpin Umno sudah mengharapkan mereka dicalonkan.

Ketua Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman yang hilang kerusi di Dabong pada 8 Mac lalu mengharap peluang untuk bangkit semula.

Dengan tiket sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, Ramzi mengharap Manek Urai menyambung hayat politiknnya.

Beliau baru disingkirkan daripada jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan. Namun, cita-cita Ramzi tidak mudah kerana ada halangan di hadapan.

Bekas Adun Manek Urai, Zulkifli Omar sudah lama bergerak keluar masuk kampung. Beliau juga sudah membina banglow indah di Sungai Sok selepas berpindah dari Kuala Krai.

Begitu juga Ketua Wanita Umno Kuala Krai, Rohani Abdul Majid, anak tempatan yang tinggal di Kampung Manek Urai lama mengharapkan suara wanita berkumandang di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Naib Ketua Bahagian Kuala Krai, Che Jalal Muda juga mempunyai cita-cita serupa. Biar pun tinggal di Kuala Krai tetapi ada bisnes di Manek Urai.

Mampukah Umno mengulangi rekod 2004, ketika Umno dan BN mulai dipinggirkan rakyat di tempat-tempat lain.

Seorang guru mengakui tempias isu nasional boleh menggugatkan pendirian pengundi di Manek Urai.

“Namun PAS tidak boleh mengharapkan sepenuhnya isu nasional. Isu tempatan lebih dekat dengan mereka. PAS tidak harus meminggirkan isu lokal kerana lebih dekat dengan pengundi.

“PAS perlu mencari tokoh yang dekat dengan rakyat, mampu meneruskan legasi ditinggalkan Paksu Mail. Kalau boleh lebih baik daripada itu,” katanya ketika ditemui di Kuala Krai, baru-baru ini.

Biar apa pun Paksu Mail bertapak kukuh di situ sejak 1986. PAS Cuma kecundang pada 1982 dan 2004. Sejak merdeka PAS bertapak di situ yang bermula dengan kampung dalam pagar.

Mampukah Umno mengulangi sejarah Pengkalan Pasir empat tahun lalu atau Semerak 12 tahun lalu. Namun, PAS tidak akan membiarkan peristiwa itu berulang kembali.

Diangkat dari detikdaily.net (AK)

ARTIKLE UMNO DALAM SIASAH ??

(klik gambar untuk besarkan)
ini adalah keratan artikle dari akhbar siasah keluaran baru (bil 0156 : 5 julai hingga 11 julai 2009) muka surat 45
Siapa penulis artikle ini??

kenapa dia menulis artikle sebegini di kala hampir dengan Pemilu Manik Urai??

Siapakah orang dari Siasah membenarkan artikle ini masuk dalam akhbar siasah??

kenapa artikle sebegini dibenarkan masuk dalam akhbar siasah??

Apakah UMNO sudah menguasai Siasah, atau UMNO sudah menguasai minda "orang-orang siasah" atau "dadah UMNO" sudah meresap ke dalam minda sebilangan orang PAS, menyebabkan ketagihan melampau tidak bisa dibendung lagi??

sekian

Wallahu 'Alam

Zambry langgar sistem perundangan lagi

demokrasi93.blogspot.com

IPOH, 4 July : Beberapa orang ADUN PR berasa kehairanan apabila menerima surat perlantikan dalam beberapa jawatankuasa kerana perlantikan tersebut tidak pernah dibincang dan dipersetujui.

Kesemua mereka yang terlibat telah menolak perlantikan tersebut dan mendakwa ianya tidak sah kerana dibuat secara sebelah pihak sahaja.

Demikian dinyatakan dalam kenyataan bersama oleh ADUN pakatan Rakyat yang diadakan di Wisma DAP Ipoh pagi tadi

Hadir dalam sidang media tersebut ialah Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin, ADUN PR lain, Nga Kor Ming(Pantai Remis), Khalil Idham Lim (Titi Serong), Anuar Sudin (Changkat Jong), Sum Chiok Lai (Bercam), Yee Siew Kai(Pokok Assam)dan Ong Boon Piow (Tebing Tinggi). ADUN Yang hadir adalah yang terlibat dengan JK Hak Kebebasan Dewan, JK Kewangan Negeri dan JK Perintah Tetap Dewan.

“Ini adalah satu pelanggaran kepada sistem perundangan dan penghinaan kepada DYTM Raja Muda,” Kata Nga Kor Meng.

Pakatan Rakyat sekali lagi menegaskan persidangan 7 Mei adalah tidak sah; dimana selepas perasmian oleh DYTM Raja Muda pada hari tersebut , tidak ada apa-apa usul dan ajenda yang diluluskan dalam dewan tersebut pada hari itu, Jelas YB. Nga Kor Ming.

Beliau meminta Zambry memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perlantikan yang tidak mengikut peraturan ini.

Apa yang berlaku di Kedah tidak mempengaruhi Pakatan Rakyat di Perak – Nga Kor Meng.

Pakatan Rakyat Perak tetap dalam keadaan kukuh , erat dan terus membela nasib rakyat dan terbukti sebagaimana semasa kita mentadbir Kerajaan Perak.

Apa yang berlaku di Kedah tidak sekali-kali mempengaruhi Pakatan Rakyat Perak.Demikian dinyatakan oleh Nga Kor Meng sewaktu mengadakan sidang akhbar di Wisma DAP disini pagi tadi.

“Kita bukan saja kawan karib tetapi kita punya semangat perjuangan yang membara dalam diri kita,” katanya lagi.

”Masalah di Kedah ini tidak perlu diperbesarkan kerana suami isteripun pun ada juga pergaduhan. Perselisahan adalah sesuatu untuk memantapkan lagi pakatan rakyat dan perkakara ini kami yakin akan dapat diselesaikan oleh pemimpin Pakatan Rakyat,” tambahnya lagi.

“ Hala tuju kita adalah Pakatan Rakyat adalah pengganti kepada kerajaan BN pada masa akan datang,” tegas nya lagi.

Tarian Kuda Kepang Haram... Tetapi...




Karnival Sua Rasa anjuran TV9 hari ini ( pagi Sabtu 4 Julai 2009 ) yang berlangsung di Tanjung Emas, Muar memaparkan secara lintas langsung tarian Kuda Kepang yang turut disertai oleh tarian Barongan. Apa yang dikesalkan sama sekali adalah di kawasan yang sama, Masjid Sultan Ismail, Tanjung Agas, Muar pada hari Jumaat beberapa minggu yang lepas TELAH mengumumkan tentang fatwa Negeri Johor yang mengharamkan tarian kuda kepang tersebut.

Pengumuman sejurus sebelum azan Zohor berkumandang itu dibuat oleh pegawai yang bertugas di masjid tersebut. Beliau menyatakan hukum ini dibuat setelah Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor membincangkan secara terperinci hukum permainan kuda kepang ini yang membawa kepada unsur syirik dan khurafat.

Secara ringkas fatwa ini dibuat berdasarkan hujah - hujah berikut :

1) Terdapat unsur-unsur dalam permainan ini yang bercanggah dengan Aqidah Islamiah.

2) Pengharaman permainan kuda kepang adalah demi menjaga Syariah Islamiah.

3) Terdapat unsur-unsur dalam permainan ini yang bercanggah dengan Akhlak Islamiah.

4) Pengharaman permainan kuda kepang adalah berdasarkan kepada Kaedah Fiqhiyah berikut :

i. Bahaya mesti dihapuskan

ii. Membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan

iii. Setiap sebab yang mengarah kepada kerosakan ditegah terhadapnya apabila padanya tidak terdapat kemaslahatan yang kukuh

iv. Tidak boleh melakukan kemudaratan terhadap diri sendiri dan kepada orang lain

v. Kemudaratan dibendung semungkin yang dapat

Rujukan terhadap fatwa ini boleh didapati di pautan laman web e fatwa http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_warta_view.asp?keyID=2140

laporan oleh Penunggu Pondok Parit Ismail

Generasi muda di Manek Urai pertahan momentum Mac 2008



Sokongan golongan muda terhadap PAS ternyata tidak surut, seakan mengulangi fenomena yang berlaku pada pilihan raya umum Mac 2008.

Ini dapat dilihat lebih 300 pemuda menyertai konvoi bermotor yang diadakan di Dun Manek Urai hari ini.

Pemu
da yang menyertai konvoi tersebut berusia 21 tahun ke atas, iaitu mereka yang telah layak mengundi. Seramai 30 peserta datang dari setiap Unit Peti Undi di Dun Manek Urai.

Mereka termasuk dari dari kelab kereta nasional, motosikal klasi
k dan motosikal berkuasa tinggi. Pelepasan konvoi tersebut dilakukan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Turut hadir calon PAS Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

Acara pelepasan diadakan di perkarangan masjid Kampung Peria bermula jam 9 pagi.

Berucap merasmikan program berkenaan Abdul Latif berkata, beliau begitu terharu di atas kesanggupan belia bersama -sama membantu calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai.

Katanya, golongan belia menyedari hanya kepimpinan ulama yang mampu membentuk generasi baru ke arah lebih cemerlang.

"Saya bersyukur kerana golongan belia menyedari pemimpin Umno dan BN sering memutar belit pelbagai isu bagi kepentingan politik mereka. Sedangkan banyak penyelewengan yang dilakukan ditutup rapat bagi mengelakkan diketahui umum.

"Biar pun mereka menyembunyikan segala kepincangan yang berlaku namun rakyat terutamanya golongan belia mudah menghidu kerana teknologi maklumat sekarang semakin canggih," katanya.

Beliau berkata, golongan muda hanya mengharapkan PAS dan Pakatan Rakyat mengembalikan semula kegemilangan negara setelah dipunahkan kerajaan BN yang ada sekarang.

Menurutnya juga golongan belia lebih yakin terhadap kepimpinan PAS setelah berjaya menegakkan syiar Islam di Kelantan.

Kata beliau sekiranya golongan belia tidak berminat dengan PAS dan Pakatan Rakyat sudah tentu tidak ramai yang hadir pada program berkenaan.

Sementara itu Mohd Fauzi memberi perangsang kepada remaja supaya sentiasa mematuhi perintah agama, mentaati ibu bapa dan berdisiplin ketika berada di jalan raya.

"Saya amat menghargai kesanggupan dan ikrar adik-adik untuk memberi bantuan tenaga dalam mempertahankan pemerintahan PAS yang berjuang untuk menegakkan syiar Islam," ujar beliau.

Kata beliau biar pun remaja sekarang dikaitkan dengan gejala mat rempit, namun diharap belia di Manek Urai terhindar daripada gejala tersebut.

Beliau juga melahirkan komitmen untuk untuk bersama dengan golongan belia di Manek Urai sekiranya PAS terus dipertahankan pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Konvoi bermotor tersebut melalui Kampung Peria, Sungai Sok, Chuchuh Puteri, Lata Rek, Laloh dan berakhir di Manek Urai.

Di samping itu pelbagai program menarik diadakan antaranya pameran motosikal dan motivasi di Chuchuh Puteri, solat Zohor berjemaah di Laloh dan berakhir di Manek Urai Lama.

Jumaat, 3 Julai 2009

Nizar - Siap sedia untuk PRK DUN Perak!



TANJUNG KARANG 3 Julai 2009. Pembubaran Dun Perak terpaksa dilakukan memandangkan keadaan yang kucar-kacir yang berlaku di Perak sejak rampasan kuasa berlaku kini semakin membimbangkan. Demikian disuarakan oleh Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Pakatan Rakyat bagi negeri Perak, di majlis pelancaran Kelab Penyokong PAS di perkarangan Kompas di sini.


Keyakinan beliau itu berasaskan kepada prestasi kerajaan yang memerintah di Perak hari ini semakin dipertikai. "Kerajaan sedia ada juga dikatakan tidak mampu mentadbir dengan baik berikutan situasi yang tidak tentu hala yang melanda negeri tersebut"


Paling tragis katanya, dalam masa terdekat juga Sidang Dun Perak perlu diadakan berhubung kelulusan Belanjawan 2010 yang pastinya sekali lagi akan mengundang kekecohan. Nizar yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang mendedahkan beberapa ahli Parlimen dan wakil rakyat BN turut menyetujui kekalutan yang berlaku di Perak boleh diselesaikan hanya dengan pembubaran Dun Perak bagi membolehkan pilihan raya kecil negeri diadakan.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa dalam wawancaranya bersama Harakah juga berpendapat pembubaran Dun Perak mungkin akan berlaku selepas PRK Manik Urai.

MANEK URAI : UMNO/BN SEMAKIN TERUK



Beberapa indikator yang ditemui membayangkan usaha Umno untuk merampas kerusi Dun Manek Urai semakin samar. Kajian melalui kajiselidik yang dijalankan sebuah badan meletakkan PAS berada di hadapan.

Image Hosting by Picoodle.com

Begitu juga dengan perkembangan di lokasi pilihan raya yang berlaku sekarang.

Pertembungan di antara kumpulan bekas Ketua Bahagian Umno Kuala Krai, Dato' Wan Zaid Wan Abdullah dengan ketua bahagian sekarang, Dato' Ramzi Abdul Rahman tidak mampu disembunyikan lagi.

Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dikatakan mempunyai hubungan lebih rapat dengan Wan Zaid. Malah sebelum ini Ramzi lebih mengharapkan Naib Ketua Umno bahagian itu, Che Jalal Muda dicalonkan membawa cabaran Umno di Manek Urai.

Malah calon BN dikatakan keseorangan keluar masuk kampung tanpa mendapat sokongan padu ketua bahagian. Kedatangannya ke Masjid Kampung Manek Urai Lama baru-baru ini tanpa ada sokongan jentera Umno di situ.

Seorang penduduk berkata, beliau tidak mengenali siapa lelaki bersongkok yang datang sembahyang baru-baru ini.

"Saya hanya lihat ada beberapa sahaja jemaah yang ada di masjid bersalam dengan orang berkenaan. Saya hanya tahu orang terbabit ialah calon BN Manek Urai selepas diberitahu kemudian," katanya ketika ditemui di sini.

Kata beliau orang kampung langsung tidak kenal calon terbabit biar pun dikatakan bekas pegawai tinggi di Kesedar.

Sementara itu orang ramai merungut bekalan elektrik di Manek Urai dan Laloh sering terganggu sehari dua ini.
Kata mereka gangguan tersebut kemungkinan berpunca daripada penggunaan alat penghawa dingin di markas sementara polis yang mulai digunakan sekarang.

Gangguan bekalan elektrik berlaku semalam mulai jam 5 petang sehingga 7.30 malam. Biar pun kaunter aduan Tenaga Nasional Bhd dibina di kampung Manek Urai Baru, nampaknya masalah gangguan bekalan elektrik masih berlaku.

NIK AZIZ SERANG KUBU KUAT UMNO DI MANEK URAI



Biarpun Kampung Lela Jasa dianggap sebagai kubu Umno di peti undi Laloh, namun ramai penduduk hadir menemui Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bertandang ke kampung tersebut hari ini.

Menteri Besar turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid kampung berkenaan. Kehadiran orang ramai agak luar biasa.

Selepas itu beliau hadir pada majlis kesyukuran di rumah seorang penduduk di kawasan berdekatan.

Sedangkan sebelum ini kawasan berkenaan menjadi tumpuan kepada pemimpin Umno apabila sering datang ke penempatan tersebut dan bermalam di situ. Antaranya Ketua Penerangan Umno Malaysia, Ahmad Maslan.

Ketika menyampaikan khutbah sebelum itu beliau berkata, ketaatan kepada Allah dan Rasul merupakan asas utama seseorang untuk menjadi pemimpin masyarakat.

Beliau berkata, umat Islam wajib memilih pemimpin yang taat kepada Allah kerana lebih amanah dan bertanggungjawab melaksanakan tugas.

Image Hosting by Picoodle.com

Kata beliau berbeza dengan pemimpin yang tidak menjadikan agama sebagai pegangan hidup. Mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa ada batasan hukum hakam.

Beliau juga berkata, khutbah Jumaat merupakan medan terbaik untuk menyampaikan mesej agama kepada umat Islam.

"Biar pun ada orang mengatakan khutbah dijadikan medan berpolitik, sedangkan apa yang disampaikan semuanya terkandung dalam al Quran dan Hadis yang menyentuh kehidupan harian.

"Sebenarnya khutbah ialah tempat menyampaikan semua aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Sebab Islam menyeluruh yang meliputi ekonomi, sosial dan politik," katanya

manek urai:Penduduk lega langkah roboh tempat sembelihan babi :Pakatan Rakyat Kedah

demokrasi93.blogspot.com

ALOR SETAR: Penduduk Kampung Berjaya di sini meminta pihak berkenaan tidak mempolitikkan keputusan menutup tempat penyembelihan babi di situ kerana mereka sememangnya menyokong langkah itu.

Peniaga, Azizan Ahmad, 50, berkata kebanyakan penduduk di sekitar kawasan penyembelihan itu memang mahukan tempat berkenaan ditutup kerana berasa tidak selesa akibat bau busuk dan kotor.

Katanya rata-rata penduduk di kawasan berhampiran tidak menunjukkan tanda bantahan dan akur dengan perintah supaya tempat penyembelihan yang beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu itu ditutup.

"Ia tidak harus dipolitikkan atau dijadikan sebagai alasan untuk DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang di negeri ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Basharudin Said, 65, berkata tindakan DAP itu seolah-olah ia tidak memikirkan kehendak penduduk setempat yang mahu tempat penyembelihan berkenaan ditutup.

"Tanya la siapa pun, semua setuju tempat tu tutup sebab busuk... kedai dekat-dekat sini pun merungut sebab pelanggan kurang makan minum di kedai mereka," katanya.

Seorang mekanik Tan Khien Hin, 48, menyifatkan tindakan DAP itu sia-sia kerana majoriti penduduk bersetuju dengan penutupan tempat penyembelihan berkenaan.

"Tempat tu memang wajar tutup sebab dah lama ada di situ, tidak sesuai dah dengan keadaan sekarang, lagipun ada tempat lain lagi untuk sembelih (babi)," katanya.

Rabu lalu, Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su mengumumkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu terutama tindakan merobohkan tempat penyembelihan babi di Kampung Berjaya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika mengulas tindakan itu berkata DAP bebas membuat apa sahaja keputusan sama ada untuk kekal atau keluar pakatan kerana kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik dalam memenuhi tuntutan mereka. BERNAMA

Tazkirah Jumaat: Manusia tidak lekang daripada ujian

Ustaz Zainudin Hashim

Dalam al-Quran, ada dijelaskan beberapa bentuk ujian yang mesti dilalui oleh setiap individu Muslim, sama ada ia berbentuk ujian kebuluran, ketakutan, ujian dengan sedikit sumber pemakanan, harta benda, ujian dalam kehidupan adalah untuk Allah ketahui siapakah di kalangan hamba-hamba-Nya yang paling bertakwa kepada-Nya.

Kesemua itu adalah bertujuan supaya orang Islam semakin matang dalam menempuh perjuangan hidup. Allah SWT tidak memberi mereka meraba-raba dengan ujian yang didatangkan kepada mereka, akan tetapi Dia mengajar mereka untuk berlindung dan bermohon kepada-Nya melalui program ibadat solat dan sabar dalam menghadapi ujian.

Firman Allah SWT menerusi ayat 45 surah al-Baqarah, bermaksud: "Jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amat berat, melainkan kepada orang-orang yang khusyuk."

Dalam ayat 153 pula, Allah menjelaskan maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu, sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar."

Kedua-dua ayat tersebut di atas, memberi penjelasan bahawa Allah SWT telah meletakkan syarat terpenting dalam menghadapi ujian-Nya ialah dengan berbanyak sabar dan melakukan solat, sama ada yang wajib atau sunat, kerana dengannya kita boleh bermohon kepada-Nya untuk menyelamatkan kita daripada sebarang bentuk marabahaya yang boleh menimpa kita pada bila-bila masa.

Sifat sabar itu lahir apabila manusia ditimpa ujian getir daripada Allah SWT, ia bertujuan untuk memperkasa diri Muslim untuk terus berhubungan dengan Allah sebagai tanda penyerahan diri mereka hanya kepada Allah, dan sabar itu pula boleh dikategorikan sebagai berikut;

1. Sabar dalam melaksanakan segenap perintah Allah dengan penuh rasa khusyuk dan pasrah kepada-Nya.

2. Sabar dalam meninggalkan segala larangan dan tegahan-Nya dengan penuh rasa tanggungjawab.

3. Sabar dalam menempuh segala ujian, kerana ia mengandungi kebaikan untuk semua.

4. Sabar ketika berhadapan dengan maksiat.

5. Sabar terhadap ketentuan dan musibah.

Apabila dilihat kepada sirah para anbiya tidak seorang pun daripada mereka yang tidak diuji oleh Allah, namun ujian yang ditimpakan ke atas mereka tidaklah sama antara seorang rasul dengan yang lain, justeru baginda ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud; "Para anbiya adalah golongan yang paling dahsyat ditimpakan ujian oleh Allah, kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama)."

Sehubungan itu, Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur (Mursyidul Am kelima Ikhwan Muslimun menerusi tulisannya 'Bekalan kepada Para Da'ie' ada menyatakan, bahawa mana-mana individu atau jemaah tertentu yang memperjuangkan Islam, jika tidak melalui proses ujian, maka ia masih belum boleh dikatakan berjaya dalam dakwahnya.

Beberapa perkara yang berkaitan dengan ujian

1. Bahawa Allah SWT menjadikan ujian sebagai sunnah-Nya, supaya Dia mengetahui di kalangan hamba-Nya yang jujur dan mana yang berdusta, mana yang benar-benar beriman dan mana yang munafik. Jika sekiranya semua perkara itu mudah dan penuh dengan kesenangan, nescaya semua orang akan mengaku bahawa dia adalah seorang yang jujur, benar dan beriman. Akan tetapi, Allah mengetahui orang-orang yang benar-benar jujur dan orang yang melaksanakan solat lima waktu.

2. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada setiap ujian, iaitu membersihkan orang-orang yang komited dalam perjuangan mendaulatkan Islam, supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang menghina orang-orang soleh dengan pelbagai tindakan jahat, termasuk para da'ie, penuntut ilmu, para ulama dan para wali Allah.

3. Antara rahsia daripada ujian dan cubaan yang diturunkan Allah ke atas permukaan bumi ini, iaitu penghapusan pelbagai kesalahan dan dosa yang terdapat pada diri orang-orang pilihan, sehingga Allah akan gugurkannya hingga ke akar umbinya.

4. Bahawa agama Islam ini, meskipun sering diberitakan bahawa ia sudah menang dan berjaya, sebenarnya di tengah-tengah perjalanan, masih penuh pelbagai cabaran dan tentangan, cubaan dan konspirasi jahat yang merintang, sehingga seorang mukmin masih bimbang menghadapi pelbagai konspirasi busuk yang dilancarkan syaitan yang berupa manusia terkutuk dari setiap pintu, jendela dan setiap arah.

5. Kita mampu menyingkap pelbagai konspirasi jahat musuh-musuh Islam, hingga kita mengetahui bahawa konspirasi busuk mereka tidak terbatas pada satu dimensi sahaja, akan tetapi datang dari semua arah dan tempat, pembunuhan, penjara, pengusiran, pencemaran nama baik, pembohongan, tipudaya dan sebagainya. Akan tetapi semua itu akan berakhir dengan kegagalan.

6. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada ujian yang ditimpakan, iaitu agar seorang hamba sentiasa berjuang dan bangkit daripada jurang kerendahan dan kehinaan, serta berjuang kembali dengan tenaga dan semangat baru dan mengembalikan aktivitinya setelah keluar daripada ujian ini dengan jayanya.

7. Hendaklah seorang hamba itu merendahkan diri, patuh, tunduk dan berlindung kepada Allah serta bermunajat kepada-Nya, kerana kemenangan hanya ada di tangan-Nya dan kemuliaan hanya wujud dengan merendah diri kepada-Nya.

8. Kejujuran dan keyakinan tauhid hanya kepada Allah SWT. Hal ini dapat diketahui oleh orang yang telah cuba menerapkan kalimah La ilah Ilallah, di mana kejujuran yang kukuh tidak akan nampak kecuali saat hamba itu mendapat ujian, maka itulah ucapan kalimah tauhid yang diungkapkan dengan penuh kejujuran dan keyakinan dari dalam hatinya.

Justeru, tauhid ini akan dapat dilihat dengan jelas pada masa-masa berlakunya krisis, sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat 65 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Maka apabila mereka menaiki kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-nya."