Oleh Afix Redzuan (Selangorku) 
KUALA LUMPUR, 7 NOV – PAS Perak menubuhkan satu ‘Sekretariat Jejak’ 
bagi mencari bekas kerahan dan waris rakyat Malaysia yang terlibat dalam
 pembinaan landasan maut sepanjang 415km Siam ke Burma pada perang dunia
 kedua 1942-1946.
Sekretariat ini dipengerusikan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk 
Seri Nizar Jamaluddin menuntut penjelasan kerajaan berhubung pampasan 
‘Wang Darah’ yang diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai ganti rugi 
berjumlah RM207 bilion.
Menurutnya, terdapat satu nota yang disahkan oleh Gabenor Bank Negara
 bertarikh 13 Disember 2004 berhubung jumlah dana bernilai RM207 bilion.
Justeru, Nizar menuntut satu penjelasan adakah nota berkenaan sahih 
dan mempunyai kaitan dengan wang berkenaan.
“Ada surat-surat tertentu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan 
kepada persatuan yang mengesahkan wang tersebut dalam simpanan mereka 
(kerajaan).
“Misalnya surat bertarikh 29 Mac, satu memo daripada Kementerian 
Kewangan kepada Pengerusi Persatuan Bekas dan Waris Buruh menyatakan 
bahawa sejumlah RM207 bilion itu diangkat untuk kelulusan kerajaan di 
mana prosesnya dimaklumkan kepada pejabat Peguam Negara dan peringkat 
Sumber Manusia.
“Perkara ini disahkan Menteri Kewangan, (wang) masih dalam simpanan. 
Kalau masih disimpan mengapa tidak diberikan kepada rakyat?” soal Nizar.
Menurut Nizar, seramai 72,000 rakyat Malaya pada ketika itu dikerah 
dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia 
sementara selebihnya gagal dijejaki.
Sekembalinya mereka ke tanah air, satu pertubuhan dibentuk yang 
digelar Persatuan Kebajikan Bekas Dan Waris Buruh Binaan Landasan Kereta
 Api Siam Ke Burma Tahun 1942-1946.
Mengikut pecahan, jumlah 30,000 ini mellibatkan 60 peratus bangsa 
Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain. 
Sekiranya mereka masih hidup, umur mereka di antara 80 hingga 85 tahun.
Jika wang berkenaan diagihkan kepada 30,000 bekas buruh dan waris, 
mereka bakal menerima pampasan bernilai hampir RM3 juta setiap seorang.
Pada 27 Julai 2011, pihak persatuan menulis satu surat kepada 
kerajaan bagi menanyakan status wang tersebut dan dimaklumkan bahawa 
wang itu diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.
Jelas Nizar, beliau turut membangkitkan perkara ini pada sesi 
penggulungan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat namun tidak dijawab 
oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Husni Mohd Hanadzlah.
Hadir sama ialah Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri iaitu Dr Raja
 Ahmad Iskandar Al-Hiss, Salman Saleh, Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal
 Saleh