Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Ahad, 4 November 2012

Banjir Nih! Mana Kak Midah?


Kampung Jerneh, Batu Gajah terletak dalam DUN Sungai Rapat. Pada 2/11/2012, lebih kurang 8.30pm telah berlaku banjir kilat di Kampung Jerneh akibat hujan lebat di kawasan itu. Oleh kerana kampung itu tidak mempunyai longkang, maka air di sekeliling kawasan itu telah memasuki beberapa rumah pada malam tersebut. Inilah pertama kali air masuk hingga ke dalam rumah. Sebelum ini, jika berlaku hujan lebat air hanya sampai ke kaki lima rumah-rumah di kampung itu. Tetapi, kali ini air telah memasuki ke dalam rumah dan merosakan harta benda penghuni-penghuni di situ.

Menurut Rajkumar (48), air hanya surut lebih kurang pada pukul 3.00 pagi. Beliau berasa sungguh kesal kerana tidak ada apa-apa tindakan daripada pihak kerajaan walaupun perkara itu dibawa kepada perhatian Majlis Daerah Batu Gajah beberapa kali. Beliau pernah menghantar surat sebanyak 2 kali berhubung dengan perkara ini. Selain daripada itu, beliau juga telah berulang-alik ke Majlis Daerah Batu Gajah beberapa kali tetapi tidak ada apa-apa respon daripada mereka.

Rajkumar berasa kecewa kerana alasan yang diberikan oleh Majlis Daerah Batu Gajah ialah tidak ada peruntukan untuk membina longkang di Kampung Jerneh. Tetapi, pihak kerajaan tempatan itu mengutip cukai pintu tiap-tiap tahun. “Ini adalah tanggungjawab kerajaan tempatan. Perkara ini perlu diambil perhatian serius. Jangan memberi alasan yang tidak munasabah seperti tidak ada peruntukan. Jika tidak ada peruntukan, mohon dari kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan”, kata beliau.

“Jika masalah kecil seperti ini pun tidak ada peruntukan untuk diselesaikan oleh Majlis Daerah Batu Gajah, di manakah wang kutipan cukai itu dibazirkan tiap-tiap tahun?”, tanya beliau lagi.  Saya boleh buktikan di manakah wang rakyat dibelanjakan secara sewenang-wenangnya oleh Majlis Daerah Batu Gajah. Ratusan ribu ringgit dibelanjakan dalam projek-projek yang tidak membawa manfaat kepada rakyat. Saya sedia mendedahkan semua projek-projek yang boros itu jika Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri  yang bertanggungjawab untuk Kerajaan Tempatan iaitu Dato’ Dr Mah Hang Soon bersedia untuk mengadakan dialog bersama rakyat di Batu Gajah.

Penduduk Kampung Jerneh berada dalam kesusahan tetapi wakil rakyat daripada pihak kerajaan masih belum turun padang untuk berjumpa dengan mereka lagi. Inikah sikap wakil rakyat yang prihatin? Beginikah caranya ‘rakyat diutamakan’. Masalah ini boleh diselesaikan jika wakil rakyat kerajaan mahu mengunakan peruntukan  ADUN yang diberikan kepadanya. Tetapi, adakah beliau sudi membantu rakyat atau terlalu sibuk dengan masalah dalaman parti politiknya?

Saya bersama dengan ahli-ahli DAP Batu Gajah telah melawat mangsa banjir di Kampung Jernih. Mereka merungut bahawa tidak ada mana-mana pihak yang turun menghulurkan bantuan kepada mereka. Saya sungguh berharap wakil rakyat kerajaan turun padang untuk selesaikan masalah di kawasan itu, jangan sampai ‘rakyat dimangsakan’ lagi. 

Tiada ulasan: