Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Selasa, 10 November 2009

Ronnie Liu nafi ada kaitan dengan komunis

demokrasi93.blogspot.com
SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu Tian Khiew menafikan dakwaan yang dibuat dalam sebuah laman blog bahawa beliau terlibat dengan gerakan komunis.

Menurutnya, semua kenyataan yang disiarkan di dalam laman blog itu bertujuan menjatuhkan imej Pakatan Rakyat (PR) serta menjatuhkan imej pemimpinnya menerusi penulisan yang tidak disifatkannya sebagai keterlaluan.

“Komunis? Itu semua saya tidak mahu cakap. Memang tidak betul. Saya tidak pernah jumpa dengan Chin Peng pun.

“Itu semua tipu la (mengenai beliau belajar menggunakan senjata). Saya mana tahu, kung fu pun saya tak tahu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Ronnie berkata, selain beliau terdapat beberapa individu lain yang turut ‘diserang’ melalui penulisan di dalam laman blog itu.

“Mereka tidak ‘menyerang’ saya seorang, mereka turut ‘menyerang’ Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam).

“Mereka menyerang beberapa individu lain, bukan hanya saya. Tetapi saya lihat lukisan kartun saya rasa, ada individu yang dibayar untuk melukisnya,” katanya mengulas mengenai lukisan kartun yang menggambarkan beliau dan beberapa pemimpin politik di negara ini dan Selangor khususnya.

Katanya, melihat kepada kualiti kartun yang dihasilkan, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang menjadi dalang di sebalik kewujudan laman blog yang tidak mempunyai identiti dan nama penulis itu.

“Contohnya, saya berada di atas beca dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar) menarik beca itu. Lukisan itu pada saya memerlukan wang menghasilkannya. Seseorang mesti dibayar untuk menghasilkan lukisan itu dan mesti ada seseorang yang membiayainya.

“Sesetengah gambar atau lukisan, agak senang untuk dibuat, tetapi ada yang memerlukan kemahiran untuk menghasilkannya.

“Saya menilai daripada sudut kualiti lukisan kartun itu, namun penulisan memang merepek. Tidak ada identiti atau nama, ia kelihatan seperti kerja beberapa individu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman blog itu, Ronnie berharap agar ada individu yang akan berbuat demikian kerana beliau tidak akan mengambil tindakan itu.

“Saya tidak fikir MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan multimedia Malaysia) dan polis akan mengambil tindakan. Seseorang perlu buat laporan, tetapi bukan saya.

“Kali terakhir saya buat laporan melibatkan isu Teoh Beng Hock, sampai sekarang tak ada tindakan pun. Sampai sekarang blog itu masih beroperasi, saya harap ada pihak lain boleh buat laporan,” katanya.

Menurut Ronnie, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan laman blog itu oleh seorang orang awam dan meneliti isi kandungan yang dipaparkan pada laman blog itu kelmarin.

“Bagi saya, ada beberapa lukisan di dalam blog itu melampaui batas. Saya tidak mahu membuat laporan polis sebab tidak ada guna.

“Bila ada cerita yang lain ini tidak jadi, cerita baru pula ditimbulkan. Bahkan, di Bagan Pinang, Negeri Sembilan, sebelum ini, terdapat sebuah buku yang mengandungi 24 halaman berwarna, yang ‘menghentam’ saya. Saya tidak hirau pun,” katanya.

Bagaimanapun, Ronnie tidak menaruh harapan bahawa tindakan penulis blog seperti itu dapat dihentikan.

“Tak boleh harap mereka berhenti pun. Saya sudah ‘give up’ mengenai penulis blog yang tidak berani seperti ini. Kalau berani, tulis nama yang sebenar, kita boleh berdebat atau bawa dia ke mahkamah, tetapi semua penulisan dalam ini tidak ada nama.

“Jika saya peruntukan terlalu banyak masa untuk perkara seperti ini, saya tidak boleh menjalankan tugas sebagai exco,” katanya.

Tiada ulasan: