Resolusi tiga Muktamar Tahunan PAS di Ipoh, Shah Alam dan di Putik Kota Bharu baru-baru ini yang mempertegaskan lagi komitmennya bersama Pakatan Rakyat sudah cukup untuk memberitahu rakyat bahawa ia sama sekali tidak berhajat untuk melayan sebarang lambaian perkauman yang terus menerus disuarakan oleh pelbagai pihak.
Kinipun suara mengajak PAS ‘bekerjasama’ dengan Umno kononnya demi untuk perpaduan Melayu/Islam terus dilakukan oleh segolongan kecil tokoh agama dan orang perseorangan yang tidak pernah menghayati sejarah dan perjuangan PAS.
Seruan ini juga dibuat pada ketika Umno dan parti dalam komponan BN sendiri berpecah belah. Oleh itu dapat difahami mengapa seruan perpaduan Melayu/Islam ini terus menerus dilakukan oleh pihak tertentu itu.
Sebagai parti Islam yang teguh dengan prinsip perjuangannya dan setia dengan komitmennya bersama Pakatan Rakyat, PAS tentunya tidak akan mengkhianati setiakawannya dalam Pakatan Rakyat lebih-lebih lagi kedudukannya kini sangat selesa dalam Pakatan itu.
Malah PAS telah dapat meluaskan wilayah dakwahnya di kalangan bukan Islam, menyebabkan mereka mulai memahami keadilan dan kesaksamaan Islam, sesuatu yang tidak pernah dilalui oleh mereka selama ini.
Dengan penyertaan lebih 20,000 orang bukan Islam dalam entiti baru ‘Dewan Himpunan Penyokong PAS’ memperkukuh bukti bahawa kalangan bukan Islam telah menerima baik gagasan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Ini menunjukkan PAS telah memperlihatkan kematangan politiknya.
Ramai berpendapat, Umno tidak akan begitu ghairah untuk mengajak PAS bekerjasama jika parti itu tidak merasa terdesak, lemah dan berada dalam dilema untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Oleh itu jika PAS menyahut seruan Umno ini untuk berkerjasama nescaya parti sekular itu akan kukuh kembali dan ketika itu PAS tidak akan diperlukan lagi. Ini akan mengulangi sejarah masa lampau bagaimana PAS disingkirkan dengan penuh kehinaan.
Pengalaman getir inilah yang juga menyebabkan Mursyidul ‘Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin veteran PAS yang lain tidak dapat menerima sebarang idea kerjasama dua parti itu. Ada pihak berhujah kononnya PAS perlu melupakan apa yang berlaku di masa lalu dan berusaha membuka era baru kerjasama Umno dan PAS konon demi untuk perpaduan Melayu/Islam,
Tetapi pihak ini lupa akan kata-kata Sayidina Abu Bakar r.a. bahawa “umat Islam jangan termasuk dua kali dalam satu lubang yang sama.” Bahkan hingga kinipun Umno melakukan pelbagai usaha untuk melumpuhkan PAS.
Masalah paling besar menghalang apa yang dikatakan usaha kerjasama Umno-PAS ialah seperti yang ditekankan oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz iaitu dasar kebangsaan Umno yang sama sekali tidak dapat diterima oleh PAS yang memperjuangkan dasar Islam.
Bagi PAS, Islamlah yang boleh menyelamatkan Melayu, bukan sebaliknya, sama juga yang terjadi kepada bangsa Arab di mana Islamlah yang menyelamat dan mengangkat martabat bangsa Arab menyebabkan Sayidina Umar Al-Khattab berkata, bahawa bangsa Arab hanya mulia dengan Islam.
Oleh itu bangsa Melayu hanya mulia dan bermartabat dengan bersatu di bawah dasar Islam, bukan dasar perkauman yang sekular.
Ramai yang bertanya, kalau benar Umno sayangkan Melayu mengapa Kerajaan BN yang berteraskan Umno menyekat pemberian royalti minyak kepada Kelantan yang sembilan puluh peratus penduduknya adalah Melayu. Belum lagi diskriminasi lain yang dihadapi Kelantan sejak 20 tahun PAS memerintah negeri itu. Ini aneh di tengah riuh rendah Umno kononnya hendak menolong Melayu.
Banyak lagi hujah yang tidak memungkinkan PAS bekerjasama dengan Umno dalam apa bentukpun seperti yang telah dihuraikan banyak kali oleh pihak PAS. Namun kerana kepentingan politik pilihan raya dan survival Umno itu sendiri, Umno dan simpatisannya terus mempelawa PAS bekerjasama dengan Umno konon demi untuk perpaduan Melayu. Tetapi PAS mengambil langkah tepat dengan tidak melayan pelawaan itu.
Sudah tiga kali Muktamar Tahunan PAS membuat keputusan tepat yang mempertegaskan bahawa PAS penuh komited dengan Pakatan Rakyat walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Dasar ini ditegaskan lagi dalam pelbagai persidangan dan pertemuan PAS - terkini ketika berlangsung perkampungan PAS di Port Dickson baru-baru ini di mana PAS menyusun strategi untuk memenangi PRU Ke-13 bersama Pakatan Rakyat
PAS sudah berada di lebuh raya yang betul dalam perjuangannya membina politik baru Malaysia tanpa perkauman bersama Pakatan Rakyat. Inilah uniknya politik Islam yang amat sesuai dengan suasana masyarakat majmuk di Malaysia dan ini adalah sebuah kebijaksanaan.
Tidak syak lagi, PAS telah menunjukkan kematangan politiknya menyerlahkan pemikiran dinamik pemimpin dan pendukungnya. Negeri Kelantan yang telah diperintah oleh PAS sejak 20 tahun lalu menjadi contoh terbaik bukan saja di rantau ini bahkan di dunia, di mana pelaksanaan Islam dilakukan dengan cara yang amat harmonis sesuai dengan slogannya ‘Membangun Bersama Islam’
Sementara itu Kerajaan Kedah yang terajui oleh PAS dengan kerjasama PKR dan DAP telah menunjukkan kejayaan walaupun baru berumur tidak sampai tiga tahun. Di bawah kepimpinan Menteri Besarnya yang adil, Datuk Seri Azizan Abd Razak dan saf exconya telah menyerlahkan kemajuan bagi negeri Kedah di pelbagai segi. Memancarkan keadilan untuk semua kaum dan sangat mesra rakyat.
Hal yang sama berlaku di Pulau Pinang di mana walaupun Ketua Menterinya bernama Lim Guan Eng, tetapi berusaha untuk berlaku adil kepada semua kaum. Bahkan menjadikan Khalifah Umar Abd Aziz sebagai contoh kepimpinan yang cuba diterapkannya. Ini bukan sebuah lawak jenaka, tetapi suatu.
Sementara itu, di Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim, negeri yang terkaya di Malaysia itu berjaya melakukan pelbagai perubahan untuk kepentingan rakyatnya. Sumbangan air percuma, walaupun dalam jumlah sedikit, mengadakan skim pemberian wang kepada warga emas, bantuan kepada kanak-kanak yang lahir di Selangor, prihatin dengan pendidikan remaja di bawah skim SPIES yang sangat berjaya, membaik pulih projek rumah terbengkalai dan pelbagai lagi menunjukkan kejayaan kerajaan Pakatan di Selangor walaupun tidak henti-hentinya menerima tantangan dan cabaran dari musuh politik Pakatan.
Oleh itu, bagi mereka yang masih menyokong Umno/BN sewajarnya menerima hakikat kejayaan Pakatan Rakyat ini dengan fikiran terbuka, membebaskan diri dari kongkongan perkauman sempit yang sama sekali tidak menguntungkan.
Pakatan Rakyat adalah jalur politik masa depan Malaysia.
Kutipan Dana PRK P067 Kuala Kangsar
-
Bersempena dengan pilihanraya kecil P067 Parlimen Kuala Kangsar yang akan
berlangsung pada 5 Jun akan datang, sudilah kiranya tuan-puan dan puan-puan
sek...
8 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan