Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat yakin dengan komitmen semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak termasuk ADUN Bebas untuk menyuarakan tuntutan rakyat di dalam Persidangan DUN Perak pada 3 Ogos ini. Komitmen ini sangat penting bagi ADUN menyuarakan pelbagai isu dasar dan permasalahan rakyat yang perlu menjadi agenda utama DUN pada kali ini.
Justeru, DPPN Pk amat berharap agar tiada gangguan lagi dari mana-mana pihak pada Sidang DUN pada 3 Ogos ini. DPPN Pk merasakan semua pihak patut menjalankan tugas mereka secara profesional dan adil. DPPN Pk juga berharap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menghormati semua ADUN di dalam memastikan Persidangan DUN kali ini tidak diganggu serta mengikut lunas Undang-Undang.
DPPN Pk juga berharap Sidang DUN pada kali ini dipanjangkan kerana pelbagai isu rakyat perlu disuarakan. Antara perkara yang sentiasa timbul adalah hak rakyat dinafikan oleh kerajaan negeri. Isu-isu seperti tuntutan pampasan KTMB di Kuala Sepetang, kes pembalakan haram yang meningkat, kerakusan pembinaan yang membunuh alam sekitar dan banyak lagi temasuk keadaan kewangan negeri yang membimbangkan.
DPPN Pk yang telah menghantar permohonan bagi mengikuti Sidang DUN kali ini mengharapkan agar kami diberikan keizinan bagi melihat sendiri perjalanan DUN Perak pada kali ini. Sekiranya tidak diberikan keizinan, memang benarlah bahawa DUN Perak tidak lagi berfungsi sepertimana yang didakwa selama ini.
MOHD MUNIR ALI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan