Naib Presiden PKR Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi majlis pimpinan negeri Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkuatkuasa serta merta.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti itu di Shah Alam hari ini.
Menurut Wan Azizah, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan tugaskan kepada usaha pentadbiran kerajaan negeri.
"Ini dimohon oleh Tan Sri Khalid sendiri bagi menumpukan tenaganya untuk disalurkan dalam pentadbiran Selangor," katanya.
Azmin sebelum ini mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.
Kekosongan yang ditinggalkannya Azmin di negeri itu akan diambil alih oleh penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, umum Wan Azizah lagi.
Rombakan itu dilihat mengejutkan apabila sejak semalam ramai pemimpin kanan parti itu terus menafikan terdapat desakan supaya Khalid berundur dalam pemukiman PKR.
Anwar nafi cubaan MP guling Khalid
Khalid tidak hadir dalam kesemua sesi pemukiman dua hari sejak semalam di sebuah hotel di Shah Alam.
Selain ditemani Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketiga-tiga Azmin, Khalid dan Zaid hadir bersama dalam sidang media petang ini.
Bercakap soal yang sama, Anwar juga memberitahu dua negeri lagi akan mengalami pertukaran pucuk pimpinan yang akan diumumkan kemudian.
"Ia sedang dimuktamadkan," katanya yang enggan menyatakan terlebih dahulu negeri atau pimpinan terbabit.
Selain itu, Anwar turut menafikan bahawa terdapat pakatan ahli parlimennya yang merancang mahu menggulingkan Khalid sebagai menteri besar.
"Perkara itu tak berbangkit sama sekali. Kita sebulat suara dokong penuh. (Beri) Pandangan itu biasalah.
"Kita tengok Tan Sri Khalid pun tak sensitif sangat. Yang sensitif akhbar Umno," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan