KUALA LUMPUR, 21 APRIL : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia untuk ditentang pada pemilihan pusat Jun depan.
Hadi  berkata beliau amat mengalu- alukan kehadiran pelapis baru yang  berkelayakan bagi menggantikannya berikutan beliau bukan selamanya mahu  menjadi pemimpin parti itu.
“Jika  ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya  sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin  selamanya.
“Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis,” kata beliau dipetik media.
Hadi  berkata PAS turut mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk  membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin.
Sehubungan  itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pemimpin, ahli dan  penyokong perlu menyambut baik sebarang pencalonan daripada pemimpin PAS  untuk jawatan tertentu.
PAS  Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencalonkan Datuk  Husam Musa iaitu ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Exco Kerajaan  Negeri Kelantan untuk bertanding jawatan presiden.
Hadi sebelum ini disifatkan penganalisis politik, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, sebagai liabiliti kepada parti itu.
Dr  Aziz, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS dipetik  sebagai berkata, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah dalam  menyesuaikan parti itu dalam arena politik kini.
Pendirian  lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam  dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.
Dalam  pada itu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan  Hadi dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana  kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi  di Sarawak minggu lalu.
Sambil  menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai  “langkah kurang tepat”, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan  berkata, seseorang pemimpin perlu ditukar hanya apabila pemimpin itu  melanggar syariat.
Beliau kemudiannya berkata PAS mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk memilih pemimpin.
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan