Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Khamis, 23 Disember 2010

Tuntutan melampau: PR Pahang lapor SPRM

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, Pakatan Rakyat Negeri Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung perbelanjaan melampau dan amat meragukan dalam projek pengubahsuaian Rumah Rehat Bentong sehingga disyaki berlaku penyelewengan dana kerajaan.

Laporan tersebut dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Negara bagi Negeri Pahang yang dikeluarkan baru-baru ini, di mana didapati terlalu banyak item-item tuntutan yang tidak munasabah kerana harga yang terlalu tinggi berbanding di pasaran.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang, Roslan Zainal yang mewakili Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyerahkan laporan memohon diadakan siasatan segera itu kepada Penolong pengarah SPRM Pahang Cawangan Temerloh Abdul Malik Mohd Yusof.

Turut mengiringi ialah Penasihat Undang-undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Setiausaha Penerangan PAS Pahang Hashim Abdullah, Timbalan Ketua Cabang PKR Temerloh Abdul Kadir Abdul Manap serta kira-kira 30 orang penyokong.

Roslan yang juga Pengerusi Sekretariat Pakatan Pahang dalam sidang medianya selepas itu berkata, Abdul Malik telah berjanji untuk membawa laporan tersebut ke atas untuk disiasat.

“Dalam laporan Ketua Audit Negara menyebutkan tentang pemasangan papan tanda tandas di Rumah Rehat Bentong dituntut dengan jumlah RM871 sedangkan audit menjelaskan pada harga pasaran barang tersebut hanya berharga RM65.

“Begitu juga dengan tuntutan set sofa yang pada nilaian pasaran cuma berharga RM990 telah dituntut sebanyak RM3,530. Lebih mengejutkan dalam laporan itu ialah tuntutan set lampu yang pada harga pasarannya cuma RM9,200 tetapi telah dituntut terlalu tinggi sehingga berjumlah RM38,700. Dan banyak lagi item lain,” jelasnya.

Roslan juga dalam laporannya menggesa SPRM menyiasat bagaimana kerajaan negeri membuat syarat perjanjian pinjaman yang tidak menjamin kepentingan kerajaan melalui terma perjanjian pinjaman kepada syarikat-syarikat kerajaan negeri seperti Aspa dan PKNP.

“Kelemahan ini telah mendapat teguran keras Ketua Audit Negara. Bayangkan tidak ada syarat yang melindungi kepentingan kerajaan negeri sedangkan itu amanah rakyat. Bagi kami, apa yang berlaku merupakan kelemahan pengurusan mega yang boleh menjerumuskan kerajaan negeri kepada suatu keadaan yang terdedah kepada penyelewengan dan kebankrapan,” tambahnya.

Roslan juga turut membangkit bahawa betapa perlunya SPRM bertindak demi memulihara persepsi umum terhadap agensi tersebut.

Katanya, sebelum ini banyak laporan telah dibuat tetapi hasil siasatannya tidak kedengaran termasuk isu penyelewengan balak oleh bekas Menteri Besar Pahang Tun Khalil Yaakub yang telah dilaporkan oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman 10 tahun lalu.

Tiada ulasan: