KUALA LUMPUR – Akibat dikecam pelbagai pihak, DAP Perak semalam memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu memijak poster wajah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Ahad lepas.
Sambil mengakui perbuatan itu satu kesalahan, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berharap isu berkenaan akan dapat diselesaikan secepat mungkin.
Kor Meng yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, parti itu bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap tiga anggotanya yang meletakkan poster itu di pintu masuk ke konvensyen.
“Kepada rakyat Malaysia yang merasakan tindakan ini agak keterlaluan, kami meluahkan perasaan kesal dan berjanji tindakan seperti ini tidak akan dilakukan lagi pada masa depan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
Selain itu, Kor Ming turut menjelaskan DAP akan terus menentang politik korupsi dan menyelesaikan masalah ekonomi, penurunan tahap pendidikan serta menuntut pilihan raya negeri baru diadakan.
“Kita akan terus mendesak supaya diadakan pilihan raya baru di Perak dan memberi hak kepada rakyat Perak untuk memilih kerajaan negeri yang sebenar,” katanya.
Pada konvensyen DAP Perak Ahad lepas, poster yang memaparkan wajah Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu memijak gambar mereka.
Yit Foong sebelum ini adalah daripada DAP manakala Jamaluddin dan Mohd Osman adalah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan