__________________________________
_______________________
TEKUN sasar lebih banyak peluang kepada wanita
August 20, 2013, Tuesday
Pengerusi baharu TEKUN Nasional, Datuk Hamidah Osman berkata melalui program mentor-mentee sebagai contoh, sasaran itu yakin dicapai sekali gus meningkatkan jumlah usahawan wanita berbanding golongan lelaki.
“Saya belum diberikan taklimat sepenuhnya (oleh TEKUN Nasional). Tapi saya merancang untuk memberi peluang lebih banyak kepada wanita. Setahu saya tidak ramai wanita terlibat dengan bidang keusahawanan.
“Jadi saya hendak buka ruang seluas-luasnya kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Aidilfitri Tekun Nasional di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hamidah dilantik menjadi pengerusi agensi bantuan pinjaman kewangan itu baru-baru ini menggantikan Datuk Suraya Yaacob yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Kedah.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO berkata tiada masalah untuk pihaknya memberikan lebih banyak peluang kepada golongan wanita kerana umum mengetahui golongan itu lebih mudah membayar pinjaman perniagaan berbanding lelaki.
Jelasnya, usahawan kecil dari golongan ibu tunggal juga turut akan diberikan perhatian dan ruang dalam usaha memajukan ekonomi dan pendapatan mereka.
Hamidah menambah peluang yang hadir diharap dapat memperkasakan golongan wanita selain meningkatkan taraf hidup mereka. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan