Setakat  ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin  Abdullah masih  istiqomah dengan sikap dan komitmennya memperjuangkan  peraturan lebih  terbuka untuk aktivisme mahasiswa. Selaku bekas aktivis  pelajar di  zaman kampus dulu, beliau sendiri tentu lebih maklum dengan  kekangan  dan kongkongan yang sekian lama dihadapi warga kampus, terutama  dalam  menyatakan pendirian politik masing-masing.
Kebetulan pula beliau kini berada di tapak yang amat bersesuaian  dengan  kecenderungan pemikirannya. Kementerian dijaganya membolehkan  beliau  merealisasikan hasrat mewujudkan suasana lebih liberal dan adil  untuk  pembinaan insan lebih kreatif dan cemerlang di kampus-kampus  institusi  pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Perkembangan semasa yang memungkinkan pemimpin mahasiswa IPT  menyatakan  sikap secara terbuka turut membantu mempercepatkan pencapaian  hasrat  itu. Sebab itu apabila  ada kumpulan mahasiswa menyatakan  persetujuan  membenarkan mereka terbabit dalam parti politik, ia bagaikan  ‘pucuk  dicita ulam mendatang’ buat Saifuddin.
“Saya menyambut baik resolusi ini. Jadi, kita akan mempertimbangkan   cadangan berkenaan berikutan ia dipersetujui dan mewakili suara   mahasiswa IPTA itu sendiri,” media pada Selasa (10 Ogos) memetik   katanya.
Beliau mengulas penyerahan resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa   mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar dua hari   sebelumnya. Menerusi resolusi itu, mahasiswa mengambil kata sepakat   bersetuju mereka dibenarkan terbabit dalam parti politik.
“Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara  dan  berorganisasi yang dijamin Perlembagaan. Selain itu, ia penting  untuk  mematangkan demokrasi kita,” ulasnya lagi.
Tidak syak lagi, secara idealnya pandangan dan pendirian sebegitulah   yang amat kita harapkan. Kehidupan kampus sering dianggap platform   terbaik menggilap bakat kepemimpinan yang diharapkan menjadi pelapis   teraju masyarakat dan negara.
Untuk itu sudah sepatutnya sebarang kongkongan terhadap aktivisme dan   idealisme siswa ditiadakan. Mereka perlu didedahkan dengan perkembangan   “dunia luar”. Selaku juru bicara ummah dan ejen perubahan masyarakat,   mahasiswa perlu diberi ruang menyelami keluh-kesah rakyat.
Tidak dapat tidak, secara adilnya mereka perlu diberi kebebasan  memilih  dan menzahirkan kecenderungan politik masing-masing. Malangnya,   keterbukaan dan sikap lapang dada ditunjukkan Saifuddin itu gagal   dikongsi pemimpin lain.
Biar pun secara zahir para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya   Umno, menampakkan kesediaan mewujudkan kelonggaran dituntut mahasiswa,   ia bukan kebebasan sepenuhnya. Kebebasan dibayangkan itu tidak akan   menyebabkan mahasiswa terlalu berani menzahirkan sikap   anti-establishment, yang merugikan parti pemerintah.
Sebab itu di saat gelombang kebangkitan rakyat menuntut keizinan  lebih  luas kepada penjawat awam dan warga kampus melibatkan diri dalam   politik kepartian semakin memuncak mutakhir ini, sikap sebilangan   pemimpin negara tidak sealiran dengan kecenderungan rakyat itu.
Bahkan, ada menteri tergamak membangkitkan isu kononnya parti   pembangkang membelanjakan puluhan juta ringgit bagi menjayakan program   merekrut mahasiswa. Umpamanya, PAS didakwa menjadikan pelajar Malaysia   di Mesir sebagai ‘kilang’ untuk melahirkan pemimpin dan pendokong parti   itu.
“Ini kerana mereka melihat Mesir tempat paling subur untuk meraih   sokongan dalam kalangan pelajar Malaysia, dan juga sedikit di England,”   media pada Ahad (8 Ogos) memetik kebimbangan Menteri Belia dan Sukan,   Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.   Katanya, partinya tidak pernah mengeluarkan duit untuk mengadakan   program dengan pelajar di luar negara.
“(Perjuangan di atas dasar) kebenaran tidak memerlukan wang.   Sebaliknya, jika memang benar terdapat pelajar di luar negara yang   memilih perjuangan PAS, itu menunjukkan golongan cerdik pandai sentiasa   bersama parti ini,” ulasnya sinis.
Namun isu lebih utama di sini ialah kegagalan Shabery berfikir secara   terbuka dan bersikap adil, terutama berhubung peluang sama rata antara   parti-parti politik dalam mendekati warga kampus, dalam mahu pun luar   negara. Maksudnya, di saat parti kerajaan menikmati ruang dan peluang   seluasnya mengadakan berbagai program mendekati mahasiswa, apakah masih   wajar untuk BN-Umno berdengki dengan sokongan diterima parti lawan?
“Yang rekrut (mahasiswa) sebelum ini adalah Umno dan bukannya kita   (PAS). Umno yang rekrut untuk tubuhkan Kelab Umno,” ujar Naib Presiden   PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Baginya, penubuhan Kelab Umno Luar Negara, terutama di Amerika   Syarikat, Britain dan Mesir adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sudah   lama dibolehkan aktif politik, tetapi hanya untuk Umno.
Ketidakadilan ini antara perkara yang mengganggu Saifuddin sejak  dulu.  Sebilangan tulisannya sarat dengan pandangan meliberalisasikan   peraturan, terutama berkaitan perjalanan pilihan raya kampus.
Sebab itu apabila ada dakwaan kononnya kumpulan mahasiswa tertentu   dalam pilihan raya kampus dibantu pihak luar dalam kempen mereka, beliau   mendesak ia dinilai secara lebih adil.
“Siapa pihak luar dimaksudkan itu? Bagi yang memahami politik kampus,   lazimnya pihak luar itu ditujukan kepada pembangkang. Bagaimana jika   pihak luar itu turut membabitkan orang kerajaan?”, soalnya menerusi   kolum beliau dalam sebuah akhbar arus perdana, 23 September 2006.
Kita percaya Saifuddin sendiri sedia maklum betapa Umno jauh lebih ke   depan dalam mempengaruhi politik kampus berbanding pembangkang.   Justeru, di mana adilnya jika kecenderungan politik di kalangan warga   kampus dibataskan hanya untuk kepentingan BN-Umno.
Tidak syak lagi pemikiran terbuka sebegitu tidak dikongsi rakannya   dalam Umno. Justeru, ada baiknya beliau memperturunkan sedikit pemikiran   sebegitu kepada yang lain, terutamanya Shabery.
Kutipan Dana PRK P067 Kuala Kangsar
                      -
                    
Bersempena dengan pilihanraya kecil P067 Parlimen Kuala Kangsar yang akan 
berlangsung pada 5 Jun akan datang, sudilah kiranya tuan-puan dan puan-puan 
sek...
9 tahun yang lalu

1 ulasan:
salam, tuan blog, tolong link alamat petisyen online sokong dinar kelantan
http://www.ipetitions.com/petition/dinarkelantan/
kepada semua, mari sign petisyen online sokong dinar kelantan
http://www.ipetitions.com/petition/dinarkelantan/
Catat Ulasan