Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Khamis, 30 September 2010

Warga emas pulang wang 'haram' hanya sandiwara

Tindakan sekumpulan warga emas yang memulangkan semula wang bantuan RM100 setiap seorang kepada kerajaan Pulau Pinang hanyalah satu sandiwara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Beliau berkata, ada kemungkinan warga emas yang memulangkan wang ehsan itu tidak mendaftar lagi dalam sistem yang disediakan oleh kerajaan negeri dan mereka mungkin dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

"Mungkin ada pihak yang telah mendesak mereka," katanya bagi mengulas tindakan 40 warga emas memulangkan semula wang bantuan daripada kerajaan negeri itu kerana wang itu dikatakan daripada sumber judi lumba kuda.

Isu status wang itu didedahkan oleh sebuah blog yang mendakwa ia dari sumber judi, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penerima beragama Islam.

Isu hangat

Abdul Malik berkata, wang itu bukan daripada hasil judi sebaliknya hasil yang diperoleh kerajaan negeri daripada amalan perbelanjaan berhemah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Pemberian wang ehsan kepada warga emas itu menjadi hangat apabila akhbar arus perdana yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda negeri itu untuk disalurkan ke program membasmi kemiskinannya.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bagaimanapun menafikan laporan berkenaan dan berkata wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda itu diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Lim berkata Umno cuba meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

“Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, Umno pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program rakan anti-kemiskinan (RAK) membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang,” kata Lim.

Menurut beliau, wang derma RM2 juta itu telah disahkan oleh pegawai kewangan negeri, Datuk Farizan Darus bahawa ia telah diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Tidak haram

Mengulas perkara yang sama, bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula dua hari lalu berkata wang yang diterima daripada bantuan kewangan kerajaan yang hasilnya diperolehi dari sumber perjudian adalah tidak haram.

“Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi,” katanya.

Menurut Dr Asri, kesalahan ditanggung oleh kerajaan dan syarikat judi.

“Sama dengan mereka yang mendapat gaji dari kerajaan atau penjual yang menjual makanan lalu dibayar dengan wang judi. Wang itu halal kerana dia tidak berjudi tetapi berniaga makanan.”- mkini

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam
saya simpati dengan YB Ketua Menteri Lim Guan Eng yang tidak putus putus menerima serangan daripada gerombolan.
rasanya semua tahu apa dan bagaimana beliau kena dari mula ambilalih hinggalah pasal duit 100 haram..ada tulis ke..haram halal..dan ada chop jabatan ugama islam ke..
yang muskil adalah takda ke sesiapa yang sudi mengurniakan apa apa gelaran untuk Ketua menteri ini..
penyanyi dan pelakon pun boleh dapat dato..pelakon luar pulak tu..inikan pula orang yang memimpin sebuah negeri..atau sebab dia pembangkang..dan rakyat mereka semua hina dina terpaksa mengemis..menunjukkan kegagalan memerintah..rasanya tidak begitu..so kenapa ya..