Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 22 September 2010

Ekonomi: Malaysia Bakal Kalah Kepada Filipina

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 23 Sept - Antara punca utama kemerosotan berterusan daya saing negara serta kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) yang menempatkan Malaysia di kedudukan tercorot di rantau ini adalah disebabkan penghijrahan modal ke Filipina yang kini dilihat sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata tekad pentadbiran baru Presiden Nonoy Aquino melawan gejala rasuah dan penyelewengan di negara itu secara serius telah meyakinkan golongan pemodal untuk berbondong-bondong membuat pelaburan di Filipina.
Tambah beliau, lambang perjuangan menentang rasuah oleh pimpinan baru Filipina berjaya memberi harapan baru serta meningkatkan keyakinan pelabur.
"Secara tidak langsung mereka lebih tertarik untuk melabur ke Filipina," kata Azan kepada Suara Keadilan.

Ini amat berbeza dengan keadaan aman dan selesa di Malaysia tetapi masih tetap gagal menarik perhatian pelabur ke negara ini.
"Beberapa syarikat yang telah membuat pelaburan di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya akhirnya memutuskan untuk mengalih dan memindahkan operasi dan pelaburan mereka di negara ini ke Filipina," ujar beliau.

Kata Azan, kemerosotan pelaburan luar yang amat membimbangkan akan menyebabkan tahap ekonomi Malaysia menjadi lebih teruk berbanding Filipina.
Laporan terbaru bank pelaburan Merill Lynch pada 16 September lepas menyatakan Malaysia merupakan pasaran yang paling tidak menarik bagi pelaburan.
Sebelum ini laporan Forum Ekonomi Dunia 2009 menyatakan kedudukan tahap daya saing negara jatuh dua lagi anak tangga ke 26.

Malahan, kebelakanghan ini kadar pelaburan FDI ke Filipina adalah lebih tinggi daripada Malaysia sekaligus menunjukkan negara tersebut mempunyai ekonomi yang lebih mantap.
Keadaan yang menyedihkan ini meletakkan Malaysia sebaris dengan tahap daya saing negara kurang maju seperti Burma, Laos dan Timur Leste.
Azan berkata keadaan telah dijangka akan berlaku sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rancangan dasar liberalisasi sebelum ini.

"Saya merasa kecewa walaupun saya sudah menjangkakan pada penghujung tahun lepas ataupun awal tahun ini pemimpin negara secara tergesa-gesa mengumumkan polisi ini.
"Saya bimbang kerana mungkin menerusi dasar ini, negara kita menggunakannya untuk menarik pelabur asing ke dalam negara walhal pada hakikatnya dasar ini membuatkan Malaysia terdedah kepada ancaman ekonomi secara global," jelas Azan.

Tambah Azan, penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam pentadbiran di bawah Umno-Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun disamping sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa, akhirnya membawa padah kepada padah kepada negara dan rakyat.
Beliau juga menjelaskan Laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi bulan September mengunjurkan, kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Malaysia didapati menurun dan merosot.

"Hasil eksport kita (Malaysia) jatuh ke tahap negatif apabila ditolak dengan hasil import. Ini bermakna jualan kita jauh lebih rendah dan ini adalah satu perkara yang serius.
"Saya berpendapat jika kerajaan memberitahu kepada rakyat tentang perkara ini pasti ia akan memberikan kesan patriotik.

"Akan timbul naluri semulajadi dalam diri rakyat untuk berganding bahu dengan kerajaan memulihkan kembali ekonomi negara tetapi malangnya ini tidak dilakukan.
"Kerajaan memilih untuk tidak pernah menyampaikan cerita sebenar kepada rakyat tentang kedudukan ekonomi negara, apa sebenarnya yang berlaku.
"Kita juga tidak tahu selama mana lagi BN ingin menyembunyikan kedudukan sebenar ekonomi Malaysia sekarang," jelas Azan lagi.

Sehubungan itu menyeru Umno-BN menerangkan keadaan sebenar ekonomi negara sebelum ianya terlambat.
"Saya yakin jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara, inilah antara perkara utama yang kami akan lakukan," katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tak payah banding dengan luar negara, bandingkan sahaja dengan prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Antara laporan defisit kerajaan Malaysia pimpinan UMNO/BN dengan laporan lebihan pendapatan akibat penjimatan yang dilakukan PR.