KUALA LUMPUR, 21 Dis – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya sikap  terbaru Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung isu negara Islam akan  menjadi cabaran kepada Umno-BN yang asyik menyerang gabungan tiga parti  itu.
Oleh yang demikian, Mursyidul Am PAS berkata, perubahan yang  diambil Karpal itu membuktikan kerjasama Pakatan Rakyat yang turut  dianggotai PKR amat sesuai dalam konteks masyarat pelbagai kaum dan  agama di negara ini.
“Terima kasih atas pendirian terbaru Tuan  Karpal Singh. Ia suatu petanda apa yang PAS perjuangkan selama ini  banyak membawa kebaikan untuk semua kaum.
“Sikap terbaru Karpal  itu juga membuktikan politik kerjasama melalui Pakatan Rakyat amat  sesuai dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Ia satu  cabaran kepada Umno yang memang menolak asas-asas Islam dipakai dalam  politik. Dari segi politik ia sudah mematikan serangan Umno terhadap  PAS. Mungkin MCA pula boleh mempersoalkan, sejauh mana pendirian Umno  dalam isu pemerintahan Islam,” kata Menteri Besar Kelantan (gambar)  kepada The Malaysian Insider hari ini.
Tambah Nik Aziz, parti Islam itu bersedia untuk berbincang mengenai isu negara Islam dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja.
“Memang  bersedia untuk berbincang atas isu negara Islam kerana bagi PAS  sentiasa mengamalkan prinsip terbuka untuk berbincang dengan sesiapa  sahaja,” kata Nik Aziz.
Nik Aziz juga berkata sama ada  PAS  ataupun sakretariat Pakatan Rakyat boleh menguruskan sesi perbincangan  yang diharapkan oleh Karpal.
“Kalau boleh perbicangan itu nanti  boleh dilibatkan sama ahli akademik atau pakar-pakar perundangan bagi  memahami secara spesifik isu-isu berkaitan pemerintahan dan keadilan  Islam.
“Dengan kenyataan Karpal itu, ia sudah menjawab semua keraguan yang timbul sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika  Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Ahad  lalu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor mahu isu negara  Islam yang dibawa PAS selama ini dan dilihat menjadi ‘halangan’ kepada  Pakatan Rakyat terus bergerak ke depan, diselesaikan dengan segera agar  tidak digunakan sebagai senjata oleh musuh-musuh politik mereka.
Sehubungan itu, Karpal berkata, beliau yakin perkara tersebut boleh dibincangkan dan dicari jalan penyelesaian.
“Saya mahu perkara ini diselesaikan dengan segera supaya tidak dijadikan isu oleh musuh kita,” katanya.
Dalam  ucapannya, Karpal juga menjelaskan bahawa kata-kata ‘over my dead body’  yang dilafazkan pada 1990, tahun PAS mengambil alih kerajaan negeri  Kelantan, telah difahami di luar konteks.
“Apa yang sayakan 20  tahun lalu dibaca di luar konteks. Islam adalah agama rasmi  (Persekutuan) dan rakyat agama lain juga ada hak.
“Oleh itu tidak  baik untuk mengatakan Perlembagaan Persekutuan membolehkan mengadakan  negara Islam, tetapi yang ini boleh dibincangkan, saya tidak mahu BN  mengesksploitasikan isu ini... ini boleh dibincang dengan Tok Guru Datuk  Nik Abdul Aziz , (Presiden PAS) Tok Guru Datuk Seri Abdul Hadi  (Awang),” kata beliau.
Sementera itu, Hadi ketika dihubungi  semalam pula berkata bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan sesiapa  sahaja termasuk Karpal untuk menyelesaikan isu negara Islam.
Tambah  Nik Aziz, walaupun negara Islam tidak disebut secara spesifik dalam  Perlembagaan Persekutuan, namun sebenarnya ia secara rasmi sudah disebut  dalam Artikel 3 tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Walaupun  dalam Perlembagaan (Persekutuan) tidak disebut secara spesifik “negara  Islam” sebenarnya Artikel 3 tentang kedudukan Islam sebagai agama  Persekutuan sudah cukup menjawab.
“Hakikatnya Malaysia sebuah negara yang sah untuk mendukung prinsip politik dan pentadbiran Islam.
“Saya  syorkan pakailah tafsir Perlembagaan yang positif, tidak pesimis  tentang Islam. Kerana agama persekutuan dalam maksud agama bagi negara,  bukan sekadar rasmi malah agama perundangan.
“Maka sewajarnya  dalam Perlembagaan itu dijelaskan maksud agama ialah ‘ad-din’, iaitu  cara hidup yang lengkap dan menyeluruh, bukan kepercayaan semata-mata.  Bila dimaksudkan sebagai ad-din, ia sudah meletakkan Islam sebagai  akidah yang mantap tak boleh dicampur aduk,” katanya.
Oleh kerana itu, katanya, Islam sebagai sistem hidup yang harus dipakai sama dalam urusan politik pemerintahan.
Ketika konvensyen sulung tahun lalu Nik Aziz berkata, Karpal akan terbuka hati untuk menerima idea negara Islam.
Kedua-dua Karpal dan Nik Aziz muncul di pentas yang sama dan duduk bersebelahan pada konvensyen Disember 2009.
Karpal  berkali-kali menegaskan meskipun DAP semakin selesa membina ikatan  kukuh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat manakala parti-parti sekular Umno  dan PKR pula giat memikat para ulama, ia masih berpendirian menentang  usaha pembentukan sebuah negara Islam.
 
0 comments:
Post a Comment