Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Isnin, 16 April 2012

Ditawar RM20 ribu buat pengakuan di TV

sumber: perakitedaily.blogspot.com

Seorang yang tenang, berjambang lebat dan sedikit beruban dijanggutnya, bertanda hitam di dahi, mulutnya kumat-kamit membaca potongan ayat Al-Quran sebelum memulakan bicaranya. Muhammad Fisol bin Ansan, 52, kini dikenali sebagai ustaz, bukanlah sembarangan orang. Beliau pernah didera, diugut, ditawarkan wang RM50,000 supaya beliau membuat pengakuan palsu di televisyen memuji dasar-dasar kerajaan pemerintah semasa menjadi tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) ketika era Dr. Mahathir suatu ketika dahulu.

Beliau yang sesekali berjenaka, adalah antara ramai di kalangan ahli PAS yang ditahan dalam usaha kerajaan pemerintah mengekang gerakan pro-Islam yang dianggap oleh Mahathir sebagai ancaman yang cuba menjatuhkan kerajaan pemerintah kononnya melalui gerakan “revolusi bersenjata” pada masa itu.

Akta Keselamatan Dalam Negeri digunakan untuk menahan orang-orang yang disyaki tanpa dibicarakan dan tanpa sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan tuduhan yang dikenakan.

Selain itu, beliau turut didera dengan dicabut misai, merangkak di bawah meja, dikapit kuku serta berdiri sebelah kaki hingga peluh menitis dan juga dilarang mengerjakan solat. Beliau juga menerima bermacam-macam jenis ugutan seperti membuatkan isterinya meminta cerai, ditarik balik biasiswa pengajian, dibuang kerja dan juga ditahan tanpa tempoh.

Kebanyakan masanya, beliau dikenakan hukuman kediaman terhad, dengan anggota polis sentiasa membuat kawalan ketat di hadapan rumahnya 24 jam sehari, dan setiap aktivitinya dipantau oleh pihak berkuasa.

Semua jenis tawaran, deraan dan ugutan itu tidak sedikitpun melemahkan imannya untuk terus mempertahankan prinsip perjuangan yang telah sebati dalam dirinya dan sudah tertanam jauh di dalam lubuk hatinya iaitu mahu hidup dan mati bersama-sama Islam, agama Tauhid. Biar sebesar mana sekalipun jumlah wang ditawarkan, beliau bukanlah mengejar kesenangan dan kemewahan hidup di dunia sebaliknya beliau hanya mahukan keredhaan Allah semata-mata. Biar sehebat mana ugutan diterima, beliau hanya takut kepada Allah sahaja.

Penerapan dasar sekular yang semakin meluas didokongi oleh Mahathir ketika itu membuatkan PAS menentang sekeras-kerasnya ideologi terbaru ini. Dasar sekularisme meletakkan agama di suatu sudut, memisahkan perkara-perkara ibadah dan kepercayaan kepada Tuhan dari amalan-amalan kehidupan, malah Islam dibuang jauh-jauh dari nilai-nilai kehidupan. Apa yang kita lihat hari ini, sistem kehidupan kita sudahpun diterapkan dengan unsur-unsur sekularisme. Sistem pinjaman berbentuk riba yang tidak lagi boleh diamalkan oleh umat Islam kerana hukumnya tetap haram. Sistem pendidikan yang mengkesampingkan pendidikan kerohanian sebaliknya menjurus kepada kemajuan sains ciptaan dan inovasi. Sistem urusniaga yang berdasarkan spekulasi tidak lagi memandang sesuatu barangan itu berdasarkan nilainya.

Ditambah pula dengan kempen propaganda melalui media cetak dan elektronik yang hanya membodek dan menjilat pemimpin pemerintah diserap ke dalam minda masyarakat, kebebasan bersuara disekat, pada masa itu teknologi internet belum ada, rakyat tidak mempunyai alternatif lain selain hanya menerima apa saja yang disogokkan di televisyen, radio dan akhbar yang dikongkong oleh kerajaan pemerintah.

Menurut Fisol yang begitu senang sekali berbicara, semua tuduhan yang dikenakan ke atas beliau adalah rekaan semata-mata dan tidak pernah dibuktikan. Malah beliau sendiri tidak pernah melihat mahupun memegang apa-apa jenis senjata yang dikatakan.

Suasana politik di negara ini tidak sama seperti apa yang sedang berlaku di Afghanistan ketika itu. Negara para pejuang Mujahid itu sedang menghadapi tentera kafir yang memiliki kelengkapan senjata moden dan terhebat mengebom kampung halaman mereka, membunuh wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua serta sedang menghancurkan sebuah negara yang majoritinya adalah orang Islam. Mereka layak dibantu dan mereka juga amat memerlukan bantuan dari saudara seMuslim yang berada di seluruh dunia. Sedih dan kecewa melihat nyawa saudara-saudara Islam sedang melayang di Afghanistan, pemuda-pemuda bangkit untuk menentang kezaliman yang sedang dilakukan oleh orang kafir. Pemuda-pemuda PAS juga tidak terkecuali untuk turut menyertai perjuangan mempertahankan kesucian Islam maka mereka berhijrah ke negara yang sedang dihancurkan itu demi mempertahankan maruah dan kesucian Islam. Ini adalah ujian yang terhebat, berkorban jiwa demi agama adalah pengorbanan yang amat besar kerana itu Allah menjanjikan syurga kepada para syuhada.

Disebabkan itu juga, PAS dituduh sedang merancang suatu gerakan revolusi mengangkat senjata untuk menjatuhkan kerajaan pemerintah serta melancarkan operasi assasin untuk membunuh pemimpin yang mengamalkan dasar sekularisme. Operasi kerajaan pemerintah menangkap individu-individu yang disyaki untuk membendung gerakan yang kononnya membawa negara menuju ke arah revolusi ini. Oleh kerana terlalu takut dengan kemungkinan gerakan revolusi pro-Islam bertapak di negara ini, ISA digunakan dengan tidak perlu mencari bukti yang nyata untuk mendakwa orang-orang ini. Tidak cukup dengan tekanan ke atas individu yang ditahan, ahli keluarga tahanan turut menjadi mangsa disekat dari menikmati kehidupan seperti rakyat biasa, antaranya sukar mendapat pekerjaan, tidak berpeluang belajar di universiti, tidak dibenarkan lulus dalam peperiksaan dan sebagainya.

“ISA sepatutnya sudah lama dihapuskan. Ia adalah undang-undang ‘draconian’ yang menahan individu tanpa bicara. Mereka boleh menuduh sesuka-hati demi mengekang perkembangan Islam di negara ini,” menurut Fisol.

Menurutnya lagi, apa saja undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara termasuk OSA juga patut dihapuskan. Undang-undang sebegini menafikan hak individu dalam menyuarakan pendapat.

“Undang-undang yang bercanggah dengan Islam patut diubah, hanya satu saja undang-undang yang wajib kita laksanakan iaitu undang-undang Al-Quran.

“Mereka yang suka kepada maksiat, suka melakukan jenayah, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, kerana itu mereka takut kepada Islam. Mereka terang-terang menolak hukum Allah. Menolak hukum Allah bererti berperang dengan Allah,” jelas Fisol lagi.

Beliau yang masih terus bersama PAS sehingga hari ini tetap yakin dengan perjuangan parti itu biarpun senario politik hari ini jauh berbeza dari dahulu di mana PAS kini sudahpun mempunyai sekutu parti politik bukan Islam iaitu DAP dan parti latar belakang berbilang kaum PKR. “Biarpun PAS kini bekerjasama dengan parti-parti lain, apa yang paling penting, PAS tidak berganjak dari dasar perjuangan yang asal iaitu meletakkan Islam sebagai teras dalam perjuangan,” ujarnya.

PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam tidak pernah menggunakan pendekatan keganasan revolusi, sebaliknya menggunakan pendekatan aman tanpa senjata, mengembangkan dakwah serta berpegang kepada prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Walaupun dasar perjuangan menegakkan sebuah negara Islam yang mengamalkan ajaran-ajaran dari Al-Quran dan Hadis, menurut hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T, perjuangan parti politik di negara ini perlu diterjemahkan melalui kertas undi. Itu yang telah diputuskan dan disepakati bersama oleh setiap anggota parti.

Ini bercanggah sekali dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pemerintah. Ketakutan Mahathir ke atas gerakan pro-Islam dengan membanteras, menangkap dan memenjarakan orang-orang yang disyaki tanpa dibenarkan membela diri tidak ubah seperti ketakutan Raja Firaun. Firaun raja zalim memerintahkan setiap bayi lelaki yang baru lahir mesti dibunuh kerana menurut kepercayaannya, akan lahir seorang lelaki dari kalangan rakyatnya yang akan menjadi orang yang menentangnya suatu hari nanti. Akhirnya Allah mengutuskan bayi lelaki yang dipelihara oleh permaisurinya yang satu-satunya tidak dibunuh oleh Firaun, bayi itulah yang membesar sehingga apabila dewasa menjadi utusanNya menyampaikan dakwah dan membawa kebenaran kepada Raja Firaun itu. Kerana keangkuhan Firaun, Allah menenggelamkannya di Laut Merah dan jasadnya sehingga hari ini menjadi tatapan dan bukti kebesaran Allah. Mungkin kerana itulah, Mahathir dahulunya digelar Mahafiraun – gabungan namanya dengan nama Firaun, kerana tindak-tanduknya serupa dengan Raja Firaun.

Bahawa sesungguhnya jalan kebenaran itu tetap berada pada tempatnya yang paling tinggi, ia tidak dapat ditandingi oleh kebathilan. Kerana itu, setiap orang Muslim berdoa di setiap rakaat dalam sembahyangnya “ihdinas siratal mustaqim” – tunjukilah aku ke jalan yang benar!

Tiada ulasan: