IPOH: PAS Perak hari ini membuat laporan kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) berhubung kelulusan
pemilikan tanah kerajaan negeri di Bandar Seri Iskandar.
Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja
Iskandar Al-Hiss berkata, tanah seluas kira-kira 14.164 hektar (35 ekar)
diberikan pajakan negeri kepada Syarikat Proaktif Upaya Sdn. Bhd milik
Setiausaha Pemuda BN Perak yang juga Ketua Pemuda Umno Ipoh Barat
sekitar bulan April 2012 yang lalu.
Menurutnya, pihaknya mempersoalkan tindakan kerajaan negeri melalui
pihak berkuasa negeri mengikut perjumpaan majlis mesyuarat meluluskan
pajakan tersebut kepada Ketua Pemuda Umno itu.
“Ini menimbulkan persoalan bagaimana tanah tersebut boleh diluluskan
kepada kroni mereka,” katanya selepas
selesai membuat laporan di SPRM Perak, Meru, Ipoh dekat sini hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Strategik dan Isu, Salman Saleh, Hafez Sabri dan Safarizal Saleh.
Katanya, hasil daripada semakan pihaknya di Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM), syarikat itu terbukti dikategorikan tidak aktif.
Ini, katanya menjadi satu tanda tanya kepada rakyat khususnya di
negeri Perak bagaimana kerajaan negeri boleh memberi pemilikan tanah ini
kepada syarikat pemimpin mereka yang dibuktikan tidak aktif.
Mengulas lanjut, katanya tanah tersebut diberikan pajakan negeri selama 99 tahun dengan kos keseluruhan hampir RM45,000.
“Kami hari ini tampil mengemukakan laporan agar pihak SPRM membuka
kertas siasatan kerana berlaku penyalahgunaan kuasa di atas kelulusan
tersebut.
“PAS mendesak agar pihak SPRM menjalankan siasatan dengan beberapa
dokumen sokongan seperti peta dan juga akaun terima bayaran bagi bukti
siasatan,” jelas Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu.
Jelas Raja Iskandar, kelulusan tersebut ternyata menjadi persoalan
adakah pemberian tersebut mempunyai unsur-unsur salah guna kuasa kerana
ianya melibatkan pemimpin parti politik.
“Kami juga mengharapkan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Kadir
menjawab isu ini kerana ianya melibatkan integriti kerajaan yang
dipimpin beliau.
“Kami harap satu lagi pendedahan ini dapat dijelaskan kepada umum dan
kami tidak teragak-agak untuk meneruskan pembongkaran penyelewengan BN
Perak,” tegasnya.
1 ulasan:
nak tuduh tak ada fakta, suruh oranglain siasat kah kah kah ... pas piss pus ... pas kencing bernanah
Catat Ulasan