KUALA LUMPUR: Sebagai parti pemerintah, sekadar
berdemonstrasi sebenarnya tidak memadai buat Umno kerana mereka
sewajarnya mampu untuk berbuat lebih daripada itu.
Justeru, Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Muhammad Ismi Mat Taib
(gambar)
berkata, Umno perlu menunjukkan kewibawaan mereka sebagai parti yang
mendakwa kononnya membela umat Islam dan Melayu di Malaysia.
Sehubungan itu, sebagai Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin
seharusnya muhasabah diri dan menerima kenyataan Pengerusi DAP Perak,
Datuk Ngeh Koo Ham dengan jiwa besar.
“Sebagai sebuah parti Melayu yang paling utama, malah menjadi penaung
kepada parti Kerajaan Barisan Nasional, kenyataan Ngeh Koo Ham
sebenarnya ada kewajarannya,” katanya.
Begitupun, Koo Ham semalam menarik balik dan memohon maaf kepada
orang Islam kerana tersinggung dengan kenyataan beliau di laman
twitternya yang mempersoalkan tindakan diambil umat Islam membantah
filem 'Innocence Of Muslims' yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad
dan Islam.
“Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menyatakan
pendirian terutama dalam isu sensitif yang melibatkan peribadi Nabi
Muhammad SAW.
“Sebagai umat Islam kita wajib menyatakan bantahan kita terhadap
penghinaan yang dilakukan dan demonstrasi yang dilakukan sebenarnya
terlalu kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan yang telah dilakukan
oleh Nabi Muhammad SAW,” kata Muhammad Ismi lagi.
Bahkan, Yang Dipertua PAS Parit itu menegaskan, umat Islam bertanggungjawab membela dan mengorbankan
nyawa dan harta sekiranya diperlukan untuk memastikan maruah Islam
tidak diperlekehkan oleh musuh-musuh Islam.
-Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan