IPOH, 8 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak membantah keras tindakan Umno memperalatkan para pelajar universiti dalam program baktisiswa perdana mereka.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss (
gambar) berkata, Umno telah terlibat secara langsung program Bakti Siswa Perdana yang telah melibatkan seramai 80 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis yang berkampung selama lima hari di Kampung Bagan Tiang bersama keluarga angkat baru-baru ini.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Parit Buntar, Datuk Abdul Raman Suliman di Sekolah Kebangsaan Sungai Megat Aris, Bagan Tiang.
"Usaha terakhir dan memperalatkan mahasiswa atas nama Umno amat dikesali," kata Raja Ahmad.
Bagi beliau, jika program tersebut tiada kaitan dengan politik, mengapakah Datuk Abdul Raman selaku Ketua Umno Parit Buntar merasmikannya program tersebut?
"Kami mengingatkan agar pengurusan UUM dan UiTM tidak menjadikan program mahasiswa mereka sebagai alat politik Umno dan kami merasakan setiap tindakan tersebut amat bercanggah sama sekali kerana mengizinkan ianya berlaku atas nama program pengurusan Universiti," katanya dalam satu kenyataan.
Sudah tentu program seumpama itu yang telah diadakan di Parit Buntar berikutan kerusi pilihanraya di situ bukan dimiliki Barisan Nasional (BN) menjadi persoalan apakah program tersebut sebagai program politik mereka.
Dalam isu ini, kata Raja Ahmad, Umno mengheret mahasiswa bagi meneruskan gerak kerja mereka kerana Umno ketandusan tenaga bagi berdepan dengan musuh politik mereka dan menjadikan mahasiswa sebagai alat untuk mencapai matlamat yang ditolak oleh rakyat.
"Sudah tentu Umno akan terus menggunakan institusi pendidikan ini sebagai alat politik murahan mereka untuk mencapai kemenangan secara tidak terhormat dan akan terus mengheret mahasiswa bagi mencapai cita-cita mereka selama ini," dakwa beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan