Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) adalah satu inisiatif yang ditunjangi rakyat kebanyakan dan ia bukanlah satu gerakan yang digerakkan oleh parti politik semata-mata.Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan membuat kenyataan itu sewaktu berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang pada forum ‘Ke Arah Perubahan’ di Dewan Pandu Puteri Wilayah Persekutuan, Brickfields pada 12 Jun lalu.
“Bersih 2.0 merupakan satu gabungan yang terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil.
“Kita merasakan sudah sampai masanya suara kita didengari. Bersih 2.0 adalah satu inisiatif yang digerakkan rakyat. Ia bukan digerakkan parti plitik (semata-mata),” kata Ambiga yang menyampaikan ucapannya dalam tiga bahasa iaitu Tamil, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Bersih 2.0 akan berhimpun pada 9 Julai ini untuk menuntut enam perubahan dalam sistem pilihan raya yang dijalankan sekarang. Tuntutan mereka itu meliputi penggunaan dakwat kekal, pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, tempoh minimum kempen selama 21 hari, akses kepada media yang bebas dan adil, pengukuhan institusi awam, menghentikan rasuah sewaktu pilihan raya dan juga menghentikan amalan politik kotor sewaktu berkempen.
Satu majlis pelancaran perhimpunan besar-besaran juga akan diadakan pada 19 Jun ini, kata Ambiga.
Dalam ucapan yang sama, Ambiga memberitahu jemputan untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 sudah pun dipanjangkan kepada parti-parti politik baik daripada pembangkang mahupun daripada kerajaan.
“19 Jun ini kita ada pelancaran untuk perhimpunan pada 9 Julai ini. Untuk acara ini kita telah jemput wakil daripada parti-parti politik samada mereka menyokong atau pun menentang perhimpunan ini.
“Kita sudah jemput semua orang termasuklah komponen Barisan Nasional. Kita beritahu pemimpin-pemimpin parti politik yang mereka perlu berhimpun bersama-sama rakyat (menuntut perubahan pilihan raya),” kata Ambiga.
Ambiga dalam ucapannya yang sama juga sempat mengingatkan hadirin bahawa rakyat adalah penentu sebenar siapa yang mentadbir Putrajaya dan mereka perlu menggunakan kuasa itu sebaiknya.
“Putrajaya bukan milik sesiapa melainkan rakyat. Kita yang akan tentukan siapa ke sana,” kata Ambiga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan