Oleh Faizal Ezzany
SHAH ALAM 5 Ogos - Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa 1Malaysia gagal mencapai matlamat menyatukan rakyat membuktikan beliau tidak pernah bersetuju dengan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.
Persoalan timbul dipemikiran rakyat motif sebenar Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu tatkala bos beliau sedang bercuti di luar negara.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad melontarkan teori sama ada 1Malaysia Najib kini telah menemui jalan mati apabila timbalannya sendiri serta mentor politiknya berpendapat gagasan itu gagal mencapai matlamatnya.
Beliau menjelaskan komen Muhyiddin tersebut mencerminkan keadaan sebenar yang sedang bergolak di dalam Umno dan juga pentadbiran Najib.Ia juga mengambarkan impian 1Malaysia hanyalah untuk kepentingan politik Perdana Menteri sahaja dan bukannya ikhlas terhadap rakyat.
“Maka sahlah seperti yang dikatakan dan didakwa bahawa Datuk Seri Najib memang keseorangan memperjuangkan 1Malaysia. Musuh sebenar Najib ialah orang Umno sendiri dan dalam situasi begini, Najib tidak memerlukan musuh lain lagi.
"Kegagalan 1Malaysia sebenarnya bukan disebabkan rakyat tetapi oleh golongan yang berada dalam Umno dan rapat dengan Najib. Sekarang jelas musuh sebenar Najib adalah mereka yang menjadi orang kepercayaannya bukannya kita daripada Pakatan Rakyat," kata Dr Dzulkefly pada sidang media di ibu pejabat PAS semalam.
Sehubungan itu Ahli Parlimen Titi Wangsa Dr Lo' Lo' Ghazali, yang turut hadir pada sidang media itu melahirkan rasa hairan mengapa Muhyiddin membuat kenyataan tersebut semasa Najib bercuti.
"Saya hairan kenapa isu 1Malaysia ini dibangkitkan ketika Najib berada di luar negara? Adakah Timbalan Perdana Menteri hanya berani bersuara tentang kegagalan 1Malaysia ketika Perdana Menteri bercuti, kenapa tidak mempersoalkannya sewaktu sidang Dewan Rakyat ataupun ketika Najib berada dalam negara?
"Bagi saya konsep Najib bukan sahaja gagal menyatukan semua kaum di negara ini malah juga menjadi penyebab berlakunya perpecahan antara orang Melayu kerana politik sempit Umno," tegas Dr Lo' Lo'
Ahli PArlimen Shah Alam Khalid Samad juga berkongsi pendapat dengan mengatakan kempen yang dikatakan telah meningkatkan ‘rating’ Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia mungkin ada asasnya kerana daripada pemantauan yang dibuat, rakyat menerima kempen tersebut.
"Kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre menunjukkan rakyat menerima kempen tersebut. Bagaimanapun ini tidak bermakna rakyat menerima tindakan Najib dan Umno tapi yang diterima rakyat adalah konsepnya.
Pada rakyat ini satu konsep yang perlu diperjuangkan tapi Umno bukanlah 'vehicle'nya "Bagi saya walaupun Umno mempelopori 1Malaysia namun Pakatan Rakyat sudah lebih dahulu menghayati konsep ini. Pakatan Rakyat sebenarnya yang layak menyatukan seluruh kaum di negara ini bukannya Umno," jelas Khalid Samad.
1Malaysia diperkenalkan Najib sebagai slogan pentadbirannya sejurus mengangkat sumpah sebagai pPrdana Menteri keenam pada 3 April 2009.
Namun pada Mac lalu, kajian Jabatan Penerangan mendapati rakyat tahu mengenai kewujudan konsep 1Malaysia tetapi masih belum faham mengenainya.
Kutipan Dana PRK P067 Kuala Kangsar
-
Bersempena dengan pilihanraya kecil P067 Parlimen Kuala Kangsar yang akan
berlangsung pada 5 Jun akan datang, sudilah kiranya tuan-puan dan puan-puan
sek...
8 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan