Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 30 September 2009

Rakyat perlu buat pilihan tepat: Presiden PAS


MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengharapkan agar para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan membuat pemilihan tepat bagi memilih wakil rakyat terbaik untuk mereka.

Menurutnya, pengundi perlu membuat penilaian dengan sebaik-baiknya bagi memastikan calon dipilih benar-benar memenuhi tuntutan rakyat, sebagaimana negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi bersih.

“Terpulang kepada BN (Barisan Nasional) nak pilih siapa (calon mereka) kerana itu hak mereka, tapi kita yakin calon kita adalah bersih dan amanah serta mampu memikul tanggungjawab untuk memimpin rakyat.

“Insya-Allah, kita telah pilih calon terbaik dari segi khidmat yang mampu diberi kepada masyarakat Bagan Pinang dan sekiranya terpilih menjadi ADUN, kita yakin beliau mampu memainkan peranan yang besar,” katanya ketika mengunjungi mangsa ribut di sekitar Kampung Pengkalan Berangan, di sini, semalam.

Menurut Abdul Hadi, calon Pas, Zulkefly Mohd Omar yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan berpendidikan adalah seorang yang amanah kerana pernah bekerja dengan Pusat Zakat Selangor selain mempunyai rekod bersih dalam mengendalikan kewangan.

“Peluang untuk kita (Pas) menang sangat baik kerana kita sudah mencapai kemajuan di kawasan itu.

“Cuma kita masih lagi mempersoalkan undi pos kerana ia masih tidak telus, terdapat pengundi yang tidak mengundi tetapi kertas mereka diundi,” katanya.

Ketika ditanya tentang kesahihan dakwaan itu, Abdul Hadi berkata, beliau mempunyai bukti dan ada pihak yang sanggup memberi kenyataan.

Terdahulu di PORT DICKSON Abdul Hadi menyifatkan kemenangan calon Pas dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang akan menentukan hala tuju pemerintahan baru Pakatan Rakyat (PR) di Negeri Sembilan.

Menurutnya, lapan kemenangan pilihan raya kecil terdahulu membuktikan masyarakat sememangnya inginkan perubahan dalam pemerintahan kerajaan baru yang diterajui PR.

“Pas yakin dengan calon berpengalaman dan kemenangan yang dicapai terdahulu dalam pilihan raya kecil akan membantu PR untuk memerintah Negeri Sembilan.

“Masyarakat sememangnya ingin perubahan dalam pemerintah peringkat Pusat dan Negeri, jadi laksanakan tugas diamanahkan sebaik mungkin demi kepentingan masyarakat berbilang bangsa dan kaum,” katanya.

Tiada ulasan: