Senarai Blog Saya
-
Kutipan Dana PRK P067 Kuala Kangsar - Bersempena dengan pilihanraya kecil P067 Parlimen Kuala Kangsar yang akan berlangsung pada 5 Jun akan datang, sudilah kiranya tuan-puan dan puan-puan sek...10 tahun yang lalu
JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....
Khamis, 28 Oktober 2010
TG Nik Aziz: Penolakan PAS terhadap perpaduan dengan Umno ada asas
Menteri Besar Kelantan itu (gambar) berkata, PAS menyertai Barisan Nasional (BN) sekitar tahun 70-an itu atas jemputan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein dan bukan PAS yang mahu menyertai gabungan itu.
“PAS tidak pernah meminta untuk bersatu dengan Umno apabila menyertai BN ketika itu... malah ketika ‘ditendang’ dari BN, kita tidak diajak untuk berbaik-baik semula sehinggalah selePAS pilihan raya umum ke-12 lalu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Nik Aziz berkata, PAS pernah berbaik-baik dengan Majlis Perundingan Cina (CCC) selePAS Umno tidak menjemput PAS semula menyertai gabungan itu.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana dikatakan terus mengeluarkan ‘fatwa’ sesuka hati berhubung kerjasama UMNO dengan MCA dalam BN.
Dalam kenyataannya di Gua Musang semalam, Timbalan Presiden Umno itu dilaporkan berkata, PAS menganggap kerjasama Umno dengan MCA adalah salah tetapi pada masa sama ‘menghalalkan’ kerjasama PAS dengan DAP.
Ini membuktikan pemimpin PAS suka membuat ‘fatwa’ sesuka hati mengikut kepentingan politik mereka, katanya.
Menurut Nik Aziz, tindakan PAS menyertai BN sebelum ini menimbulkan perpecahan di kalangan PAS di mana wujud empat kumpulan di kalangan penyokong parti itu, termasuk Islah, Hamim dan Berjasa.
Katanya, selePAS itu PAS ditendang keluar daripada parti gabungan BN itu sehingga bekas Presidennya, Datuk Asri Muda dilucutkan daripada Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah.
Beliau juga berkata, PAS mempunyai asas yang kukuh untuk bersekongkol dengan DAP dan pernah keluar dari gabungan itu bila DAP gagal menerima perjuangan PAS sehinggalah mereka kembali semula selePAS memahami konsep perjuangan PAS. – Bernama
UMNO main kotor.. Main sentimen agama..
GUA MUSANG: Baru sehari penamaan calon Galas berlangsung dan hari ini, penduduk Gua Musang mula melihat lawan kepada PAS mula menyerang parti Islam itu dengan isu agama.
Padahal, baru semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Husein memberikan amaran agar juru kempen pilihan raya ini tidak menggunakan isu agama dan kaum dalam kempen mereka.
Di bandar Gua Musang, orang ramai terkejut banner yang mempermainkan sentimen agama digantung oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan lawan masing-masing yang terbukti ia termasuk dalam sentimen agama yang dihalang Hishamuddin dari dipermainkan.
Banner itu yang mempamirkan apa yang dikatakan laporan akhbar yang dibuat oleh Karpal Singh lebih 10 tahun lalu yang bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu- Karpal Singh".
Banner itu mempertikaikan kenapa PAS masih menyokong DAP yang disifatkan mereka sebagai harbi (kafir harbi).
Komen PAS
Koordinator Bilik Gerakan PAS, Mohd Nasir Daud ketika dihubungi mengenai perkara ini berkata, pihaknya akan bertindak segera ke atas bahan kempen seumpama ini.
Ini kerana, ia termasuk dalam senarai bahan-bahan kempen yang tidak dibenarkan oleh SPR dalam siri kempen pilihan raya ini.
"SPR telah membentuk Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk mengawasi bahan dan kempen pilihan raya ini. Saya yakin, PPKPR akan bertindak segera menurunkan kempen sebegini," kata Nasir.
Dalam pilihan raya ini, tiga PPKPR telah ditubuhkan oleh SPR. Ketuanya adalah seorang pegawai penguatkuasa yang dilantik oleh Pegawai Pengurus pilihan raya ini.
Anggota PPKPR adalah seorang anggota polis yang pangkatnya tidak kurang dari inspektor, seorang wakil dari pihak berkuasa tempatan dan seorang wakil dari setiap parti politik yang bertanding.
Antara syarat bahan kempen adalah mesti ada penerbitnya pada bahan kempen tersebut.
Dalam kes banner yang mengecam PAS ini, tidak ada sebarang nama penerbit dinyatakan di atas banner atau kain rentang tersebut.
Komen DAP
Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Phua mempertikaikan apakah kain rentang ini lambang bentuk kempen gentlemen yang dijanjikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.
Bagi beliau, kempen yang dijalankan Umno di Galas ini tiada etika dan tiada kelas langsung.
"Umno tidak pernah berubah," kata Tony Phua melalui twitternya.
Rabu, 27 Oktober 2010
Ahli Parlimen Ketawakan Jawapan Bodoh Nazri
KUALA LUMPUR 27 Okt - Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang memberi alasan dangkal bahawa kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya mendaftarkan 4 juta pengundi disebabkan oleh faktor salah alamat.
Anwar berkata tugas SPR sepatutnya menjamin pilihan raya diadakan dalam keadaan bebas dan adil.
"Kalau SPR betul-betul adil dan bebas kenapa tidak boleh pantau perkara ini.
"Kalau menurut jaminan Menteri, SPR adalah adil dan bebas dan jika ini betul maka tidak akan boleh kalah. Itu merupakan logik yang tidak betul sebab ada kes di mahkamah kadang-kadang perompak pun boleh menang tidak semestinya dia betul," bidas Anwar yang menyebabkan Ahli Parlimen lain ketawa dengan penjelasan Nazri tersebut.
Beliau juga menjelaskan bukan niatnya untuk mengumpamakan SPR sebagai perompak tetapi alasan yang diberikan Menteri tidak langsung masuk akal.
"Sepatutnya SPR mempertimbangkan pendaftaran 4 juta pengundi yang tercicir daripada daftar pemilih. Maknanya ada proses yang harus diperbaiki.
"Ini kata 4 juta tidak berdaftar sebab salah alamat, ini merupakan alasan karut," tegas beliau.
Kata beliau lagi, sebab yang diberikan adalah cuma sekadar alasan untuk tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
"Sepatutnya Menteri yang bertanggungjawab mencari jalan supaya sekurang-kurangnya 3/4 daripada jumlah itu boleh mengundi. Ini tidak, Menteri pula yang bagi jawapan salah alamat. Mana dia tahu salah alamat?," soalnya ketika bangun meminta Nazri memberi penjelasan berhubung isu sama ada kerajaan bercadang untuk mendaftarkan pengundi yang layak secara automatik.
Sebelum itu, dalam menjawab sesi soal jawab pertanyaan lisan pagi semalam, Ahli Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Abdul Kadir dalam soalannya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan samada kerajaan bercadang mencari kaedah penyelesaian bagi memdaftarkan pengundi secara automatik.
Nazri dalam jawapannya berkata kerajaan tidak ada cadangan untuk mengadakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi yang mencapai umur 21 tahun dengan alasan sebahagian rakyat Malaysia tidak tinggal di alamat yang tercatat di dalam kad pengenalan.
Selasa, 26 Oktober 2010
KJ setuju PAS guna masjid solat hajat
Khairy berkata pendekatan yang diambil oleh PAS tersebut tidak boleh dipandang serong kerana bagi setiap umat Islam, mereka seharusnya memohon dengan Allah dalam segala urusan.
“Bagi saya PAS menggunakan masjid untuk berhimpun dan mendirikan solat hajat adalah satu perkara yang amat baik dan kita harap mana-mana pihak tidak mempertikaikan hal tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihanraya Umno bagi PRK Dun Galas, Datuk Mustapha Mohamed ketika ditemui media berkata, BN mengambil pendekatan yang berbeza dalam pilihan raya kecil kali ini apabila mereka menggerakkan jentera kempen dengan memasuki kampung ke kampung dan bertemu dengan akar umbi secara terus tanpa menggunakan peringkat pertengahan.
Beliau berkata langkah tersebut adalah lebih bermanfaat jika dibandingkan dengan mengharapkan pihak tertentu kerana bimbang segala maklumat tidak dapat disampaikan secara terus kepada pengundi.
Menyentuh pertandingan satu lawan satu, beliau berkata ia adalah satu petunjuk yang baik dan berharap tidak akan berlaku soal fitnah memfitnah antara kedua-dua pihak.
Mustapa juga berharap jentera dari kedua-dua pihak akan bertindak secara profesional dalam masa tempoh berkempen kali ini.
Harakahdaily/-
Angin tak mandang, tapi pokok Galas udah goyang
Orang Melayu selalu berkata, tak ada angin pokok tak bergoyang, tak sungguh tak melata dan tak sungguh, maka tak kata. he he
Ku Li yang juga ahli parlimen Gua Musang hadir mengiringi calon BN itu ke pusat penamaan calon, tetapi beliau tidak naik ke pentas, malahan telah "hilang" sebelum pengumuman dibuat.
Bagaimanapun, Mustapha berkata: "Saya jumpa dia tadi, bukan masalah 'infighting' (dalam bahagian) ke apa. Tak ada, tak ada, tak ada," katanya.
"Ku Li buat keputusan untuk bersama dengan rakyat (penyokong) di luar (pusat penamaan)," katanya.
Ditanya sekiranya Tengku Razaleigh pulang ke rumah, Mustapha berkata: "Dia berehatlah. Ini biasa, semua dah selesai dah, tak ada masalah."
Mustapha juga berkata, Tengku Razaleigh memainkan peranan besar sebagai ahli parlimen paling kanan di Malaysia dan juga sebagai pengarah pilihan raya kecil ini.
"Tapi kita BN yang banyak berjasa untuk rakyat dan calon wakili (parti) BN, bukan individu," katanya.
Isnin, 25 Oktober 2010
TG Nik Aziz menangis di Galas: Mungkin kerana masih ada yang mahu menentang dasar Islam Perjuangan PAS
Oleh: WFAUZDIN NS
Tok Guru Nik Aziz menangis ketika membaca doa selepas selesai solat hajat diikuti laungan amin oleh para penyokong.(Harakahdaily)
MENGAPA Mursyidul Am PAS juga MB Kelantan ini menangis tatkala kesekelian para penyokong PR begitu bersemangat untuk `mengubur'kan Umno sekali lagi di Bumi Serambi Mekah ini? Tiada siapa yang tahu melainkan Tuan Guru sendiri serta Allah SWT Tuhan yang menjadi tempat beliau mengadu.
Kita semua tahu, Tuan Guru Nik Aziz bukan lemah jiwanya untuk menangis sedemikan rupa. Beliau telah ditekan dan diasak begitu hebat sepanjang perjalanan politiknya, apatah lagi semenjak beliau memegang jawatan MB Kelantan. Namun, beliau begitu kuat semangatnya, begitu juga tatkala keluarganya diburukkan bahkan pemergiannya ke Mekah pun menjadi fitnah oleh musuh-musuh politiknya. Saya cuba meneka apa yang ditangiskan oleh Tuan Guru Nik Aziz itu.
Pertamanya, beliau merasa sedih kerana masih ada umat Islam di Negeri Kelantan yang mahu menentang dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Apabila Umno yang mengaku Melayu Islam itu meletakkan calon untuk bertanding, ini bermakna parti sekular itu begitu serius untuk menumbangkan PAS di Kelantan. Mengapa Umno sanggup menentang PAS? Bagi Tuan Guru Nik Aziz, sepatutnya tiada sebab umat Islam di Kelantan khususnya menentang Kerajaan PAS. Apa penyelewengan atau salah laku sepanjang PAS memerintah Kelantan? Jika kemajuan atau pembangunan menjadi sebab, mengapa Kerajaan Pusat yang ditunjangi Umno tidak mahu membantu rakyat Kelantan yang majoritinya Melayu dan berugama Islam itu? Tuan Guru merasa sedih bila memikirkan sampai bila rakyat Kelantan ingin di anak tirikan.
Kedua, Tuan Guru merasa sedih mungkin kerana memikirkan mengapa tergamaknya Umno mempergunakan Ku Li untuk menentang PAS. Semua orang tahu bahawa Ku Li selama ini berjuang untuk mendapatkan hak rakyat Kelantan di dalam isu royalti minyak. Malahan Ku Li sanggup sepentas bersama Tuan Guru untuk berjuang di dalam mendapatkan hak yang dirampas oleh Umno/Bn itu. Di saat PAS bergelut di dalam perjuangan tersebut, tiba-tiba Ku Li menjadi orang kuat Umno untuk menentang PAS. Tidak terfikir oleh kita mengapa Ku Li sanggup terus meng`gurkha'kan dirinya sepanjang masa. Tentu pada fikiran Tuan Guru, tidak wajar PAS `menyerang' Ku Li kerana besarnya jasa Ku Li terhadap perjuangan PAS di dalam isu royalti. Berlawan dengan Ku Li bukanlah pilihan yang menggembirakan PAS. Namun, PAS terpaksa berbuat demikian kerana Islam mengajar untuk menentang sesiapa sahaja yang ingin meruntuhkan Islam hatta ibu dan ayah kita sendiri.
Ketiganya pula, tangisan Tuan Guru Nik Aziz adalah tangisan seorang hamba yang menyerahkan segala ketentuan kepada Allah SWT. Setelah PAS berjuang dan melaksanakan segala yang terdaya dan termampu, maka PAS berserah kepada Allah. Mudah-mudahan Allah memberi pertunjuk dan jalan yang mudah untuk PAS terus berkuasa di Kelantan demi agama yang maha suci ini. Tuan Guru sedar, sepanjang kempen ini nanti sudah pasti Umno akan menggunakan apa jua cara untuk merampas kerusi Dun Galas tersebut. Tuan Guru tetap berdoa ke hadrat Illahi agar seluruh rakyat Kelantan khususnya di Galas akan istiqomah dengan Islam.
Umno akan terus memperlecehkan kepimpinan Tuan Guru di Kelantan. Menjadi kewajipan kita semua untuk berada di saf hadapan berdepan dengan Umno. Lupakan sementara Ku Li, dan jika kita ingin menyelamatkan maruah Ku Li maka PAS mesti tumbangkan Umno di Galas. Apabila Umno tewas, maka InsyaAllah, Ku Li akan dapat pertunjuk mengapa beliau harus bersama rakyat Kelantan untuk mempertahankan Kerajaan PAS. Apabila Ku Li kembali bersama kita, ini bermakna Umno akan gagal `memperhambakan' Ku Li lagi.
3 Di Batu Sapi, 2 Di Galas
Serah Borang: 3 Di Batu Sapi, 2 Di GalasPilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi menyaksikan tiga calon sudah menyerahkan borang pencalonan mereka seawal jam 9 pagi tadi, manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas kelihatan dua calon iaitu masing-masing dari UMNO dan PAS sudah memasuki dewan pusat penamaan calon.
Di pusat penamaan calon Dewan Masyarakat Sandakan bagi Parlimen Batu Sapi, proses penyerahan borang pencalonan didahului Pengerusi Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, 52, diikuti Datin Linda Tsen, 54, dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Ansari Abdullah, 56 (PKR).
Sementara itu, bagi DUN Galas, Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff, 47 sudah menyerahkan borang pencalonannya dan diikuti kira-kira jam 9.30 pagi Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang memasuki Pusat Pencalonan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
Penyerahan borang calon hanya akan diterima sehingga jam 10 pagi sebelum proses itu ditutup. -BH
Dari Malaysiakini/Pelbagai:
Proses penamaan bermula jam 9 pagi bagi pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi di Sabah dan DUN Galas di Kelantan.
8.00am - Di Batu Sapi, lalulintas sesak di sekitar dewan masyarakat Sandakan, yang menjadi pusat penamaan calon kerana ia sebelah laluan jalan ditutup.
Penyokong BN yang membawa bendera berhimpun di depan dewan. Tempat penyokong BN berhimpun ialah di Padang Besar Sandakan, kira-kira 500 meter dari pusat penamaan calon.
Di Galas, lalulintas lancar. Cuaca juga baik. Ratusan penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di depan Masjid Tengku Faiz Petra, yang terletak tidak jatuh dari pusat penamaan calon.
Perarakan ke pusat penamaan calon akan bermula selepas solat hajat.
9.02am: Pusat penamaan calon di Batu Sapi dibuka dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya bersedia menerima kertas pencalonan daripada mereka yang berhasrat bertanding.
9.06am: Calon PKR Ansari Abdullah adalah calon pertama yang tiba di pusat penamaan calonan untuk menyerahkan borang. Sambil tersenyum, beliau melambai kepada penyokongnya sebelum menuju ke kaunter pencalonan.Seminit kemudian, ketua SAPP, Datuk Yong Teck Lee pula memasuki dewan untuk menyerahkan borangnya.
9.10am: Calon PBS yang mewakili BN Linda Tsen menyerahkan borang pencalonannya. Semua ketiga-tiga calon utama kemudiannya bersalaman.
9.11am: Di Galas, penyokong Pakatan yang dianggarkan kira-kira 1,000 orang mula berarak dari masjid dengan diketuai oleh naib presiden PAS, datuk Mahfuz Omar yang diiringi oleh pemimpin Pakatan yang lain.
Sebelum itu, diketuai oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mereka menunaikan solat hajat di masjid berkenaan.
Kehadiran mereka disahut dengan takbir oleh penyokong di sepanjang jalan berkenaan menuju ke pusat penamaan calon.
9.19am: Penyokong Pakatan di Galas dihalang oleh sekatan, namun mereka terus berselawat dan melaungkan takbir.
9.22am: Di Batu Sapi, semua tiga calon utama - Ansari Abdullah (PKR), Yong Teck Lee (SAPP) dan Linda Tsen (BN-PBS) - telah mengemukakan borang masing-masing dan menikmati minuman ringan. Masih belum ada calon Bebas yang tampil mengemukakan borang pencalonan meskipun sebelum ini SPR melaporkan lebih 27 borang pencalonan sudah dibeli.
9.30am:Di Galas Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad masuk ke pusat penamaan calon diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.9.39am: Penyokong PAS dan beberapa pemimpin Pakatan cuba memasuki dewan penamaan calon, tetapi polis hanya membenarkan mereka dengan pas untuk berbuat demikian. Antara merea mereka tidak dibenarkan masuk adalah ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
9.44am: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim keluar dari kawasan VIP dan membuat ucapan ringkas kepada penyokong Pakatan. Beliau menggesa mereka bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon Pakatan pada 4 November ini.
9.48am: Di Batu Sapi, keadaan lebih tenteram di luar pusat penamaan calon. Penyokong dan pemimpin ketiga-tiga parti yang bertanding bergaul dengan satu sama lain tanpa sebarang ketegangan.10.00am:Pegawai pilihan raya SPR di Batu Sapi memaklumkan bahawa tempoh penamaan calon telah berakhir.
Hanya tiga calon mengemukakan borang mereka. Tempoh masa 10 hingga 11 pagi adalah waktu untuk mereka membuat bantahan, jika ada.
Di Galas, pegawai pilihan raya juga membuat pengumuman yang sama. Katanya, hanya dua calon yang telah mengemukakan borang mereka.Sekalipun sebelum ini SPR melaporkan lebih dua puloh borang pencalonan dijual untuk setiap satu PRK, namun berdasarkan kepada maklumat pencalonan di kedua-dua PRK, hanya 3 calon di Batu Sapi dan 2 calon di Galas menyerahkan borang masing-masing. Kedua-dua mereka ialah calon BN Abdul Aziz Yusoff dan Dr Zulkefli Mohamad dari PAS, yang telah pun diumumkan sebelum ini.
Tiada calon-calon Bebas kali ini menyerahkan borangnya.
10.00am -11.00am Waktu ini ialah waktu bantahan. Bantahan boleh dilakukan oleh mana-mana calon terhadap lawannya seandai adanya kesilapan dilakukan oleh calon berkenaan di atas kertas pencalonannya.Seandainya tiada bantahan diterima, atau ada bantahan tetapi ditolak oleh SPR, maka SPR akan mengumumkan pegesahan calon-calon yang bertanding di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil ini pada jam 11.00 pagi nanti.
10.05 am: Borang penamaan mula dipamer untuk bantahan.Hanya dua borang diterima SPR iaitu dari PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan BN, Ab Aziz yusoff.
Zulkefli dicadang oleh mohamed Noor awang Hamat dan disokong Abdullah Hussein.
Manakala Ab Aziz dicadang Mohd Azmi Mahnood dan disokong Chong Kam Siong.
10.57 am Masa bantahan hampir tamat. Pengarah SPR bagi kedua-dua PRK akan mengumumkan calon-calon bertanding sebentar lagi
11.00 am Tamat masa bantahan. Menunggu pengumuman calon-calon bertanding, samada ada atau tidak kertas pencalonan yang ditolak di mana-mana PRK, Batu Sapi atau Galas. Mudah-mudahan kertas pencalon calon Pakatan Rakyat sah dan diisytihar sah untuk bertanding.
10.07 am: Rais Yatim setuju RTM bagi laluan 15 minit kepada pakatan rakyat dalam siaran mereka seperti diminta oleh Presiden PAS.Dia berkata demikian sewaktu berkunjung ke khemah Pakatan dan berbual dengan presiden.
"Kita boleh bagi, asalkan program yang memberi kebaikan utk rakyat.
"In fact bagi tau masa dan program kat mana," katanya.
10.10am: Di Batu Sapi, penyokong ketiga-tiga parti memulakan kempen dengan melaungkan slogan dan kata-kata semangat masing-masing.Yang paling lantang adalah, penyokong Pakatan dengan jeritan "Batu Sapi, kita tawan" dan "Reformasi", menenggelamkan teraiakan oleh pihak BN, yang kebanyakannya mereka terdiri daripada ahli Puteri Umno.
Penyokong SAPP pula dilihat kurang memberi reaksi dalam 'perang mulut' itu dan lebih berminat mengibarkan bendera parti sahaja.
10.14am: Di Galas, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad membuat ucapan ringkas dengan laungan takbir oleh penyokong Pakatan. BN pula membalas dengan paluan gendang mereka.
Membuat ucapan politik serta membawa peralatan muzik adalah antara perkara yang dilarang semasa penamaan calon oleh SPR.Polis kemudiannya mengarahkan Khalid berhenti membuat ucapan kerana tempoh berkempen belum bermula. Beliau mematuhi arahan berkenaan, namun paluan gendang daripada BN dibiarkan terus bergema.
10.31am: Seorang komander Pasukan Gerak Am yang berpakaian tentera memeriksa kedua-dua sekatan yang didirikan oleh PAS dan juga Umno.
Beliau disindir oleh penyokong PAS yang memberikan tepukan dan berkata "Datuk jadi calon!" dan " Baju dah hijau tu" sambil disambut dengan gelak ketawa oleh mereka yang hadir.
Bagaimanapun bahang matahari yang berterusan akhirnya menyaksikan penyokong PAS mula keletihan dan berehat seketika. Paluan gendang BN juga mula lesu sebelum berhenti seketika juga.
Zon penampan 180m yang didirikan bagi mengelakkan kedua-dua parti itu daripada bercampur berjaya mengurangkan ketegangan. Ia berjaya penyokong kedua-dua pihak mengejek satu sama lain yang mungkin boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.
Gambar berikut ehsan harakahdaily






Isu IFF dan Kedangkalan Ilmu Ulama Muda UMNO
Kenyataan Rasmi Ulamak Pelapis PAS:
Isu IFF dan Kedangkalan Ilmu Ulama Muda UMNO
Ulamak Pelapis PAS melahirkan kekesalan apabila tindakan Datin Seri Rosmah Mansur yang menghadiri Festival Busana Islam (IFF) didokong dan dibela oleh saudara Fathul Bari bin Mat Jahya.
Ulamak Pelapis PAS kesal apabila tindakan rakyat yang bangkit berdemonstrasi dalam membantah penglibatan Datin Seri Rosmah Mansur Festival Busana Islam (IFF) turut dikecam dan dianggap sebagai tersasar daripada konsep Islam.
Bagi Ulamak Pelapis PAS, tindakan saudara Fathul Bari bin Mat Jahya yang membela kesilapan Datin Seri Rosmah Mansur mencalarkan imejnya sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam.
Hujah Bahawa Datin Seri Rosmah Mansur Hanya Penaung Bukan Penganjur
Fathul Bari bin Mat Jahya mempertikaikan sikap PAS yang dianggap salah kerana menurut beliau, Datin Seri Rosmah Mansur bukanlah penganjur sebaliknya hanyalah penaung kepada majlis IFF tersebut.
Namun bagi Ulamak Pelapis PAS, Fathul Bari selaku seorang yang berpendidikan agama sepatutnya jelas mengenai sikap yang perlu diambil oleh seseorang muslim apabila terlibat dengan program-program maksiat sebagaimana yang telah berlaku dalam IFF.
(Prime Minister Datuk Seri Najib Razak (left) and his wife, Datin Seri Rosmah Mansor,
speaking with Prince Albert II of Monaco at the International Islamic Fashion Festival. — Reuters picture)
Pakaian menjolok mata dengan tidak mengendahkan arahan Allah agar wanita muslimah menutup aurat ditambah dengan penghinaan nama Nabi Muhammad yang ditulis secara terbalik dan ditonjolkan di bahagian dada wanita yang memperagakan fesyen tersebut sangat jelas untuk dihukumkan sebagai satu majlis maksiat dan menghina Islam.
Menerusi firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa' ayat 140, Allah menegaskan larangan untuk orang Islam bersama-sama di dalam majlis yang menghina ayat-ayat Allah. Umat Islam disuruh untuk menegur maksiat yang berlaku di dalam mana-mana majlis. Sekiranya mereka tidak mempunyai kemampuan, maka mereka wajib untuk meninggalkan majlis maksiat kerana kebersamaan di dalam majlis berunsur maksiat adalah satu maksiat. Ini jelas terpampang dalam kenyataan para ulama tafsir sewaktu mereka menghuraikan ayat 140 daripada Surah al-Nisa'.
Adakah boleh diterima secara waras bahawa Datin Seri Rosmah Mansur selaku seorang muslimah sebenarnya tidak mengetahui bahawa majlis seperti itu adalah satu majlis maksiat? Adakah beliau boleh dianggap sebagai seorang yang tidak mengetahui sama sekali bahawa pakaian-pakaian yang dipamerkan dalam majlis tersebut adalah pakaian yang menyongsang daripada kehendak agama Islam?
Ulamak Pelapis PAS beranggapan bahawa Datin Seri Rosmah Mansur menyedari bahawa IFF adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang sebenar. Sekiranya Fathul Bari beranggapan sebaliknya, ini bermakna Datin Seri Rosmah Mansur begitu sangat jahil dalam memahami kehendak Islam dan ini adalah sangat-sangat malang sekiranya berlaku kepada seorang wanita Islam apatah lagi kepada isteri kepada seorang Perdana Menteri.
Sekiranya Fathul Bari mempertikaikan PAS kerana menyelar keterlibatan Datin Seri Rosmah Mansur dalam satu program maksiat, maka Ulamak Pelapis PAS ingin bertanya di manakah suara orang-orang berpendidikan Islam di dalam UMNO seperti Fathul Bari dalam membantras maksiat sebagaimana yang berlaku dalam IFF dan konsert Adam Lambert yang diizinkan oleh kerajaan UMNO untuk dibuat di Malaysia? Ulamak Pelapis PAS kesal dengan sikap orang-orang berpendidikan agama di dalam UMNO yang membisu dalam membantras gejala maksiat di dalam negara sebaliknya begitu lantang mengecap tindakan rakyat yang bangkit menyuarakan isi hati mereka yang tidak berpuas hati apabila agama dipersenda.
Hujah Bahawa Nasihat Kepada Pemimpin Tidak Boleh Secara Terang-Terangan
Ulamak Pelapis PAS ingin menjelaskan kepada umum bahawa para ulama Islam telah menyatakan bahawa apabila maksiat yang dibuat secara terang-terangan, maka tidak menjadi satu kesalahan untuk umat Islam memprotes maksiat tersebut secara terang-terangan.
Sekalipun ada hadith Rasulullah yang meminta supaya nasihat diberikan secara senyap-senyap dan bukan secara terang-terangan, hadith ini sebenarnya ditujukan kepada kesilapan yang dibuat secara senyap-senyap. Ini kerana apabila seseorang itu melakukan dosa dan maksiat secara sembunyi-sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain, maka orang yang mengetahui kesalahan tersebut tidak boleh sama sekali menghebahkan kesilapan si pelaku kerana Islam meminta umatnya agar menutup keaiban manusia.
(Saudara Fathul Bari bin Mat Jahya)
Namun sekiranya dosa dan maksiat yang dilakukan adalah secara terang-terangan sebagaimana yang berlaku dalam majlis IFF, maka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan perlanggaran Syariat yang berlaku adalah dibolehkan oleh Islam agar umat Islam mengetahui bahawa majlis yang dibuat secara terbuka tersebut adalah bercanggah dengan Islam.
Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan enam keadaan yang mana seseorang itu dibenarkan oleh Islam untuk mengumpat dan menyatakan kejahatan atau keburukan orang lain:
- Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah ataupun pihak yang berautoriti agar kezaliman dapat dibanteras.
- Perbuatan mengumpat dan mendedahkan kesalahan adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran: "Si Fulan melakukan kemungkaran. Maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
- Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
- Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
- Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya secara terang-terangan. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang.
- Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.
Sejarah Islam Bukti Bahawa Kesalahan Pemimpin Yang Dibuat Secara Terangan Ditegur Secara Terangan
Sejarah Islam sendiri telahpun mendedahkan kepada kita berkenaan dengan sikap umat Islam dahulu yang berani menyatakan kesilapan para pemerintah secara terang-terangan sekalipun mereka diancam dengan kematian.
Apabila Marwan bin al-Hakam yang merupakan pemerintah Bani Umayyah ketika itu cuba untuk membaca khutbah terlebih dahulu sebelum solat hari raya, tindakan beliau telah ditegur secara terang-terangan oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abu Said al-Khudri. Apabila Marwan bin Hakam tetap mahu berkhutbah dahulu sebelum solat hari raya, Abu Said al-Khudri telah merentap baju pemerintah tersebut agar dia tidak meneruskan niatnya untuk membaca khutbah sebelum solat. Dalam masa yang sama, seorang lelaki lain yang turut berada di situ telah menegur Marwan secara keras dengan berkata:
"Wahai Marwan. Engkau telah menyalahi Sunnah Nabi. Engkau telah mengeluarkan mimbar pada hari raya sedangkan sebelum ini mimbar tidak pernah dikeluarkan pada hari raya. Engkau telah mulakan dengan khutbah sebelum solat hari raya".
Lantas Abu Said al-Khudri bertanya kepada orang ramai siapakah lelaki berkenaan. Selepas mana hadirin memberi tahu nama lelaki tersebut kepada Abu Said al-Khudri, Abu Said telah berkata:
Adapun orang ini, dia telahpun menunaikan kewajipannya. Saya telah mendengar Rasulullah bersabda:
"Sesiapa yang melihat kemungkaran dan dia mampu untuk mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah Iman".
(Lihat kisah ini dalam Sahih Muslim: Hadith ke-9 daripada Kitab Solat al-`Idayn. Lihat juga Sunan Abi Daud Kitab al-Solat Bab al-Khutbah Yawm al-`Id).
Antara contoh lain adalah Sultan al-`Ulama Izzuddin bin Abd al-Salam dan Ibnu al-Hajib al-Maliki. Dua tokoh ulama kurun ke-6 ini begitu berani mendedahkan kesilapan Raja Syria ketika itu di atas pentas mimbar Jumaat. Mereka berdua begitu lantang dalam khutbah mereka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan dosa Raja Syria yang bersubahat dengan tentera Salib dalam menyerang Mesir sehingga raja tersebut tergamak membenarkan tentera Salib masuk ke kota Damsyik bagi tujuan membeli peralatan senjata daripada umat Islam. Al-Imam Izzuddin yang merupakan ulama besar dalam mazhab Syafi`e akhirnya telah dibuang negeri dan beliau akhirnya berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia.
Ini adalah beberapa contoh kecil yang ada di dalam lipatan sejarah Islam. Maka apabila tindakan PAS mendedahkan kepada umum tentang kesilapan para pemimpin UMNO dipertikai oleh Fathul Bari, Ulamak Pelapis PAS sebenarnya sangsi dengan tahap keilmuan Islam yang dimiliki oleh beliau. Adakah Fathul Bari tidak pernah mengetahui perbahasan seperti ini ataupun beliau sebenarnya sengaja menidakkan fakta ini demi menjaga kepentingan peribadi beliau di dalam UMNO.
Ulamak Pelapis PAS meminta agar orang-orang yang berpendidikan agama di dalam UMNO menginsafi dan bertaubat kepada Allah S.W.T. serta bersikap tidak mengkhianati ilmu Islam yang dipelajari hanya semata-mata kepentingan keduniaan.
LAJNAH KEAHLIAN DAN ULAMAK PELAPIS
Dewan Ulamak PAS Pusat















