Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 10 Februari 2010

100 ahli keluar parti satu pembohongan

BANDAR TUN RAZAK- Parti Keadilan Rakyat menafikan bahawa 100 ahlinya keluar parti itu, dan menganggap ia adalah satu pembohongan.

Setiausaha Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan, Azman Abidin berkata, pihaknya hanya dimaklumkan tiga orang sahaja yang keluar parti iaitu Norasidi Salim, Azmi Hassan dan Ishak Hamzah.

“Antara mereka hanya Norasidi yang mempunyai jawatan dan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada kami tengah hari semalam dengan alasan sebab peribadi,

“Mereka yang lain hanya ahli biasa termasuk Ishak Hamzah, dan beliau dahulunya hanya sempat berkhidmat selama tiga bulan sebagai Setiausaha Bahagian Bandar Tun Razak, tetapi telah melepaskan jawatannya tidak lama dahulu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah beliau, Mohd Salleh Ibrahim juga bukan ahli PKR dan PKR sama sekali tidak tersentak dengan berita keluar parti ini kerana lebih ramai lagi ahli UMNO yang masuk PKR.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak berkata, isu keluar masuk parti ini adalah perkara biasa dalam politik, tidak perlu dibimbangkan kerana bukan isu keluar agama yang mana perlu dibimbangkan.

“Kami dalam PKR tidak menjanjikan intan belian kepada mereka yang masuk menyertai perjuangan kami,

“Tiada sebarang tawaran kedudukan atau projek kepada mereka yang menyertai kami, perjuangan kami adalah sama seperti dulu menegakkan keadilan dan nasib rakyat,” katanya.

Azman ketika diminta mengulas mengenai dakwaan perselisihan pendapat dalam parti berkata, masalah itu satu perkara biasa dalam mencapai kesefahaman.

“Pakatan Rakyat baru dua tahun memenangi lima buah pentadbiran negeri dan sudah pasti ada perselisihan pendapat yang berlaku,

“Kami bukan seperti parti sebelum ini yang sudah sekian lama mentadbir negeri-negeri terbabit dan semestinya dalam tempoh dua tahun ini tidak semua kemahuan rakyat dapat ditunaikan,” katanya.

Sementara itu, Azman juga menafikan bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim dianggap terlalu elit sehingga melupakan tugas selaku wakil rakyat.

“Walaupun Tan Sri Khalid sibuk dengan urusan mentadbir negeri Selangor namun beliau mempunyai masa menjenguk rakyat di Bandar Tun Razak,

“Terbaru, minggu lalu Tan Sri Khalid turun ke Taman Connaught bermesra dengan masyarakat Cina sempena menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi,” katanya yang juga merupakan Pegawai Peribadi kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Semalam, media melaporkan, Bendahari (PKR) Wilayah Persekutuan, Norasidi Salim secara rasmi mengumumkan keluar daripada parti itu dan kembali menyertai UMNO.

Turut mengikut jejaknya adalah empat lagi anggota PKR iaitu Timbalan Ketua Bahagian PKR Putrajaya, Azmi Hassan, Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan, Ishak Hamzah, anggota jawatankuasa PKR Putrajaya, Daud Ahmad dan penggerak Reformis 1999-2008, Mohd Solleh Ibrahim.

Pada majlis itu, Norasidi turut menyerahkan 100 lagi borang permohonan keanggotaan UMNO daripada PKR Bahagian Bandar Tun Razak.

1 ulasan:

al-mankaraqi berkata...

3 = 100????...........kakakakakakaka